PELAJARAN 30

Orang Tersayang Anda Dapat Hidup Semula!

Orang Tersayang Anda Dapat Hidup Semula!
Tunjuk Perkataan Sembunyi Perkataan

Kematian membawa banyak kesedihan dan keperitan. Itulah sebabnya Bible memanggil kematian sebagai musuh. (1 Korintus 15:26) Di Pelajaran 27, kita belajar bahawa Yehuwa akan melenyapkan kematian. Namun, apakah harapan bagi orang yang sudah meninggal? Dalam pelajaran ini, kita akan lihat janji Tuhan untuk membangkitkan jutaan orang agar mereka berpeluang untuk hidup kekal. Adakah hal ini benar-benar akan berlaku? Adakah mereka akan dibangkitkan ke syurga atau di bumi?

1. Apakah yang ingin Yehuwa lakukan untuk orang mati?

Yehuwa tidak sabar-sabar untuk menghidupkan semula orang tersayang kita. Seorang lelaki setia yang bernama Ayub percaya bahawa walaupun dia mati, Tuhan tidak akan melupakannya. Dia berkata kepada Tuhan, “Engkau akan memanggil aku, dan aku akan menjawab [dari Kuburan].”​—Baca Ayub 14:13-15.

2. Bagaimanakah kita tahu orang mati dapat hidup semula?

Semasa Yesus di bumi, Yehuwa memberinya kuasa untuk membangkitkan orang mati. Yesus pernah membangkitkan seorang gadis yang berumur 12 tahun dan anak lelaki seorang balu. (Markus 5:41, 42; Lukas 7:12-15) Yesus juga telah membangkitkan kawannya Lazarus biarpun dia sudah mati selama empat hari. Bagaimanakah Yesus melakukannya? Selepas berdoa, Yesus menyeru, “Lazarus, keluarlah!” lalu “lelaki yang mati itu pun keluar.” (Yohanes 11:43, 44) Betapa gembiranya keluarga dan kawan-kawan Lazarus!

3. Apakah harapan bagi orang tersayang kita yang sudah meninggal?

Bible kata, “Tuhan akan membangkitkan orang.” (Kisah 24:15) Sebelum ini, kita belajar bahawa mereka yang dibangkitkan oleh Yesus tidak naik ke syurga. (Yohanes 3:13) Sebaliknya, mereka dibangkitkan di bumi dan dapat bertemu semula dengan kawan dan keluarga mereka. Pada masa depan, Yesus akan membangkitkan jutaan orang untuk hidup selama-lamanya di bumi Firdaus. Bible kata “semua orang di dalam makam peringatan,” iaitu dalam ingatan Tuhan, akan hidup semula!​—Yohanes 5:28, 29.

KETAHUILAH

Kaji bukti daripada Bible yang menunjukkan bahawa orang mati akan dibangkitkan. Lihat bagaimana pembangkitan dapat membawa kelegaan dan memberi anda harapan.

4. Yesus dapat membangkitkan orang mati

Lihatlah kisah pembangkitan Lazarus dengan lebih terperinci. Baca Yohanes 11:14, 38-44, kemudian bincang soalan berikut:

  • Apakah yang Bible kata tentang keadaan Lazarus?​—Lihat ayat 39.

  • Jika Lazarus sudah naik ke syurga, adakah masuk akal bagi Yesus untuk memaksanya hidup semula di bumi?

Mainkan VIDEO.

5. Jutaan orang akan hidup semula!

Baca Mazmur 37:29, kemudian bincang soalan berikut:

  • Jutaan orang yang dibangkitkan akan hidup di mana?

Selain orang yang menyembah Yehuwa, ramai lagi berpeluang untuk dibangkitkan. Baca Kisah 24:15, kemudian bincang soalan berikut:

  • Siapakah yang ingin anda lihat dibangkitkan?

Bagi Yesus, membangkitkan seseorang adalah seperti membangunkan anak yang sedang tidur

6. Pembangkitan membawa harapan dan kelegaan

Kisah pembangkitan anak Yairus telah melegakan banyak orang. Baca kisah benar ini di Lukas 8:40-42, 49-56.

Sebelum membangkitkan gadis itu, Yesus memberitahu Yairus, “Janganlah bimbang. Berimanlah.” (Lihat ayat 50.) Bagaimanakah harapan pembangkitan dapat membantu anda semasa . . .

  • orang tersayang anda meninggal?

  • nyawa anda terancam?

Mainkan VIDEO, kemudian bincang soalan berikut:

  • Apakah kesan harapan pembangkitan terhadap ibu bapa Phelicity?

ADA ORANG KATA: “Susah percaya bahawa orang mati dapat hidup semula di bumi.”

  • Apakah pendapat anda?

  • Apakah ayat Bible yang dapat anda kongsi untuk membuktikan hal ini tidak mustahil?

RINGKASAN

Bible berjanji bahawa jutaan orang mati akan dibangkitkan. Yehuwa mahu mereka hidup semula dan Dia telah memberi Yesus kuasa untuk membangkitkan orang.

Ulang Kaji

  • Bagaimanakah kita tahu Yehuwa dan Yesus mahu membangkitkan orang mati?

  • Jutaan orang yang dibangkitkan akan hidup di syurga atau bumi? Mengapa anda menjawab demikian?

  • Apakah yang meyakinkan anda bahawa orang tersayang anda akan dibangkitkan?

Matlamat

JOM BELAJAR

Dapatkah Bible membantu orang yang berkabung?

Apabila Orang Tersayang Meninggal (5:06)