PELAJARAN 32
Kerajaan Tuhan Kini Memerintah!
Kerajaan Tuhan mula memerintah di syurga sejak tahun 1914. Hari-hari terakhir juga bermula pada tahun itu. Apakah buktinya? Dalam pelajaran ini, kita akan belajar tentang nubuat Bible, keadaan di bumi, dan sikap orang sejak tahun itu.
1. Apakah yang dinubuatkan dalam Bible?
Buku Daniel menunjukkan bahawa Kerajaan Tuhan akan mula memerintah pada akhir tempoh yang dipanggil “tujuh waktu.” (Daniel 4:16, 17) Beberapa ratus tahun kemudian, Yesus memanggil tempoh itu sebagai “waktu yang ditetapkan bagi bangsa-bangsa lain.” Semasa dia masih di bumi, dia mengajar bahawa tempoh waktu itu belum berakhir. (Lukas 21:24) Seperti yang akan kita kaji nanti, tujuh waktu itu berakhir pada 1914.
2. Apakah keadaan di bumi dan sikap orang sejak tahun 1914?
Murid-murid Yesus bertanya kepadanya, “Apakah tanda bagi kehadiranmu dan penghujung sistem ini?” (Matius 24:3) Yesus menjawab bahawa sesetengah hal seperti perang, kebuluran, dan gempa bumi akan sering berlaku. (Baca Matius 24:7.) Bible juga menubuatkan bahawa sikap orang “pada hari-hari terakhir” akan membuat hidup “sukar dihadapi.” (2 Timotius 3:1-5) Semua nubuat tentang hal-hal ini jelas kelihatan sejak 1914.
3. Mengapakah keadaan di bumi menjadi begitu teruk sejak Kerajaan Tuhan mula memerintah?
Tidak lama selepas Yesus menjadi Raja Kerajaan Tuhan, dia berperang melawan Syaitan dan roh-roh jahat lalu mengalahkan mereka. Kemudian, “[Syaitan] dibuang ke bumi, dan malaikat-malaikatnya juga dibuang ke bumi bersamanya.” (Wahyu 12:9, 10, 12) Syaitan sangat marah kerana dia tahu dia akan dimusnahkan. Maka dia menyebabkan banyak masalah di bumi dan membawa banyak penderitaan. Itulah sebabnya keadaan bumi menjadi begitu teruk. Namun Kerajaan Tuhan akan melenyapkan semua masalah di dunia.
KETAHUILAH
Belajarlah bukti yang menunjukkan bahawa Kerajaan Tuhan sudah mula memerintah pada 1914 dan kaitannya dengan kita.
4. Nubuat Bible menunjukkan 1914 ialah tahun yang penting
Tuhan memberi mimpi kepada Raja Nebukadnezar dari Babilon kuno. Penjelasan Nabi Daniel menunjukkan bahawa mimpi itu berkaitan dengan pemerintahan Nebukadnezar dan Kerajaan Tuhan.—Baca Daniel 4:17.
Baca Daniel 4:20-26, kemudian gunakan carta dalam pelajaran ini untuk menjawab soalan berikut:
-
(A) Apakah yang dilihat oleh Nebukadnezar dalam mimpinya?—Lihat ayat 20 dan 21.
-
(B) Apakah yang berlaku kepada pokok itu?—Lihat ayat 23.
-
(C) Apakah yang berlaku pada akhir “tujuh waktu” itu?—Lihat ayat 26.
Kaitan Mimpi tentang Pokok dengan Kerajaan Tuhan
NUBUAT (Daniel 4:20-36)
Pemerintahan
(A) Sebatang pokok besar
Pemerintahan tergendala
(B) “Tebanglah pokok itu,” dan biarkan “tujuh waktu” berlalu
Pemerintahan dipulihkan
(C) “Kerajaan tuanku akan dikembalikan kepada tuanku”
Dalam pelaksanaan pertama nubuat itu . . .
-
(D) Siapakah yang dilambangkan oleh pokok itu?—Lihat ayat 22.
-
(E) Bagaimanakah pemerintahannya tergendala?—Baca Daniel 4:29-33.
-
(F) Apakah yang berlaku kepada Nebukadnezar pada akhir “tujuh waktu”?—Baca Daniel 4:34-36.
PELAKSANAAN PERTAMA
Pemerintahan
(D) Nebukadnezar, raja Babilon
Pemerintahan tergendala
(E) Selepas 606 SM, Nebukadnezar tidak dapat memerintah selama tujuh tahun kerana dia menjadi tidak waras
Pemerintahan dipulihkan
(F) Nebukadnezar menjadi waras dan mula memerintah semula
Dalam pelaksanaan kedua nubuat itu . . .
-
(G) Siapakah yang dilambangkan oleh pokok itu?—Baca 1 Tawarikh 29:23.
-
(H) Bagaimanakah pemerintahan mereka tergendala? Bagaimanakah kita tahu bahawa pemerintahan mereka masih tergendala semasa Yesus berada di bumi?—Baca Lukas 21:24.
-
(I) Bilakah dan di manakah pemerintahan ini dipulihkan?
PELAKSANAAN KEDUA
Pemerintahan
(G) Raja-raja Israel yang mewakili pemerintahan Tuhan
Pemerintahan tergendala
(H) Yerusalem dibinasakan, dan pemerintahan raja-raja Israel tergendala selama 2,520 tahun
Pemerintahan dipulihkan
(I) Yesus mula menjadi Raja Kerajaan Tuhan di syurga
Berapa lamakah tempoh “tujuh waktu” itu?
Dengan merujuk ayat-ayat lain dalam Bible, kita dapat memahami nubuat ini. Sebagai contoh, buku Wahyu ada sebut bahawa tiga waktu setengah bersamaan dengan 1,260 hari. (Wahyu 12:6, 14) Maka “tujuh waktu” (1,260 hari x 2) adalah bersamaan dengan 2,520 hari. Dalam Bible, kadangkala satu hari boleh mewakili satu tahun. (Yehezkiel 4:6) Jadi, tempoh bagi tujuh waktu dalam nubuat Daniel ialah 2,520 tahun.
5. Dunia telah berubah sejak 1914
Yesus menubuatkan apa yang akan berlaku di bumi selepas dia menjadi raja. Baca Lukas 21:9-11, kemudian bincang soalan berikut:
-
Peristiwa manakah yang pernah anda lihat atau dengar?
Rasul Paulus menggambarkan sikap orang pada hari-hari terakhir. Baca 2 Timotius 3:1-5, kemudian bincang soalan berikut:
-
Apakah sikap orang yang disebut dalam ayat ini yang pernah anda lihat?
6. Bertindaklah kerana Kerajaan Tuhan kini memerintah
Baca Matius 24:3, 14, kemudian bincang soalan berikut:
-
Apakah kerja yang menunjukkan bahawa Kerajaan Tuhan sedang memerintah?
-
Bagaimanakah anda dapat menyertai kerja ini?
Kerajaan Tuhan kini memerintah dan akan menguasai bumi tidak lama lagi. Baca Ibrani 10:24, 25, kemudian bincang soalan berikut:
-
Apakah yang harus kita lakukan memandangkan “hari itu semakin mendekat”?
ORANG MUNGKIN TANYA: “Mengapakah tahun 1914 begitu penting bagi Saksi-Saksi Yehuwa?”
-
Apakah jawapan anda?
RINGKASAN
Nubuat Bible dan keadaan di bumi membuktikan bahawa Kerajaan Tuhan sedang memerintah. Kita menunjukkan keyakinan kita dengan menginjil dan menghadiri perjumpaan.
Ulang Kaji
-
Apakah yang berlaku pada akhir tujuh waktu yang dinubuatkan dalam buku Daniel?
-
Apakah yang meyakinkan anda bahawa Kerajaan Tuhan mula memerintah pada 1914?
-
Bagaimanakah anda dapat menunjukkan bahawa anda yakin Kerajaan Tuhan sedang memerintah?
JOM BELAJAR
Perhatikan apa yang dikatakan sejarawan dan orang lain tentang perubahan di bumi sejak 1914.
NIKMATI HIDUP SELAMA-LAMANYA!—KURSUS PERBINCANGAN BIBLE