PELAJARAN 41

Pandangan Bible tentang Seks

Pandangan Bible tentang Seks
Tunjuk Perkataan Sembunyi Perkataan

Banyak orang rasa malu apabila menyebut tentang seks. Dalam Bible pula, topik itu biasanya dibincangkan secara terus terang tetapi dalam cara yang sopan. Nasihat Bible tentang seks memang berguna kerana nasihatnya datang daripada Pencipta kita, Yehuwa, dan Dia tahu apa yang terbaik untuk kita. Yehuwa juga mengajar kita cara hidup yang menyenangkan hati-Nya dan yang akan membawa kebahagiaan buat selama-lamanya.

1. Apakah pandangan Yehuwa tentang seks?

Hubungan intim ialah kurniaan daripada Yehuwa untuk suami isteri. Kurniaan ini membolehkan mereka memiliki anak. Selain itu, mereka dapat mengungkapkan cinta dan kasih sayang, dan menikmati hubungan yang lebih rapat. Bible kata, “Semoga kamu bersukacita dengan isteri yang kamu kahwini sejak muda.” (Amsal 5:18, 19) Yehuwa juga mahu pasangan suami isteri untuk tetap setia terhadap satu sama lain dan tidak berlaku curang.​—Baca Ibrani 13:4.

2. Apakah itu perbuatan seks yang tidak bermoral?

Bible kata, ‘Orang yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral tidak akan mewarisi Kerajaan Tuhan.’ (1 Korintus 6:9, 10) Penulis Bible menggunakan perkataan Yunani por·neiʹa untuk merujuk kepada perbuatan seks yang tidak bermoral. Perkataan ini merangkumi perbuatan seperti (1) hubungan seks a antara orang yang belum berkahwin, (2) hubungan sejenis (homoseksual), dan (3) hubungan seks dengan binatang. Apabila kita “menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral,” kita menyenangkan hati Yehuwa dan mendapat banyak manfaat.​—1 Tesalonika 4:3.

KETAHUILAH

Belajar cara untuk mengelakkan perbuatan seks yang tidak bermoral dan manfaat yang dapat diperoleh kerana tetap bersih secara moral.

3. Jauhi perbuatan seks yang tidak bermoral

Seorang lelaki dalam Bible yang bernama Yusuf digoda untuk melakukan hal yang tidak bermoral. Baca Kejadian 39:1-12, kemudian bincang soalan berikut:

  • Mengapakah Yusuf lari daripada godaan?​—Lihat ayat 9.

  • Pada pendapat anda, adakah Yusuf membuat keputusan yang betul? Mengapa?

Bagaimanakah anak muda hari ini dapat meniru teladan Yusuf dan menghindari perbuatan seks yang tidak bermoral? Mainkan VIDEO.

Yehuwa tidak mahu kita melakukan perbuatan yang tidak bermoral. Baca 1 Korintus 6:18, kemudian bincang soalan berikut:

  • Apakah situasi yang mungkin menyebabkan seseorang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral?

  • Bagaimanakah anda dapat mengelakkan perbuatan sebegini?

4. Anda dapat menang!

Apakah yang mungkin menyebabkan seseorang berasa susah untuk menolak godaan? Mainkan VIDEO, kemudian bincang soalan berikut:

  • Apabila saudara dalam video sedar bahawa perbuatan dan pemikirannya dapat menyebabkannya berlaku curang, apakah yang dilakukannya?

Bahkan orang Kristian yang setia harus bergelut untuk memastikan fikiran mereka bersih. Bagaimanakah anda dapat melawan fikiran yang kotor? Baca Filipi 4:8, kemudian bincang soalan berikut:

  • Apakah hal-hal yang patut kita fikirkan?

  • Bagaimanakah pembacaan Bible dan kegiatan rohani dapat membantu kita menolak godaan?

5. Perintah Yehuwa membawa manfaat

Yehuwa tahu apa yang terbaik bagi kita. Dia mengajar kita cara untuk mengekalkan kebersihan moral dan menunjukkan manfaat berbuat demikian. Baca Amsal 7:7-27 atau mainkan VIDEO, kemudian bincang soalan berikut:

  • Bagaimanakah pemuda dalam ayat ini menunjukkan bahawa dia tidak menolak godaan?​—Lihat Amsal 7:8, 9.

  • Menurut Amsal 7:23, 26, perbuatan seks yang tidak bermoral membawa akibat yang buruk. Apakah masalah yang akan kita elakkan jika kita bersih secara moral?

  • Bagaimanakah kebersihan moral membantu kita menikmati kehidupan sekarang dan untuk selama-lamanya?

Adakah ajaran Tuhan tentang hubungan sejenis munasabah? Ya. Yehuwa ialah Tuhan yang pengasih dan Dia mahu semua orang hidup selama-lamanya. Tetapi, untuk menikmati berkat-Nya, kita harus hidup mengikut syarat-Nya. Baca 1 Korintus 6:9-11, kemudian bincang soalan berikut:

  • Adakah hubungan sejenis satu-satunya hal yang dianggap salah oleh Yehuwa?

Kita semua perlu membuat perubahan untuk menggembirakan hati Tuhan. Adakah usaha kita berbaloi? Baca Mazmur 19:8, 11, kemudian bincang soalan berikut:

  • Bagi anda, adakah piawaian moral Yehuwa munasabah atau tidak? Mengapa?

Yehuwa telah membantu ramai orang hidup mengikut piawaian moral-Nya. Dia pasti membantu anda juga

ADA ORANG KATA: “Kalau dua orang saling mencintai, tidak salah mereka tidur bersama.”

  • Apakah pandangan anda?

RINGKASAN

Hubungan seks ialah kurniaan Yehuwa untuk dinikmati oleh pasangan suami isteri.

Ulang Kaji

  • Perbuatan seks yang tidak bermoral merangkumi apa?

  • Apakah yang dapat membantu kita menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral?

  • Apakah manfaatnya jika kita mengikut piawaian moral Yehuwa?

Matlamat

JOM BELAJAR

Baca kisah “Mereka Tidak Memandang Rendah Saya” untuk melihat bagaimana seorang bekas homoseksual mengubah cara hidupnya untuk menyenangkan Tuhan.

“Bible Mengubah Hidup” (Menara Pengawal, 1 April 2011)

a Ini termasuk perbuatan seperti bersetubuh, seks oral, seks dubur, dan meraba alat kelamin seseorang demi kepuasan seks.