PELAJARAN 42
Ajaran Bible tentang Membujang dan Berkahwin
Dalam sesetengah budaya, orang percaya mereka mesti berkahwin untuk hidup bahagia. Namun, bukan semua orang yang sudah berkahwin hidup bahagia dan bukan semua orang bujang tidak gembira. Apakah pula pandangan Bible tentang hal ini? Bible menyatakan bahawa membujang dan berkahwin ialah kurniaan daripada Tuhan.
1. Apakah kebaikan membujang?
Bible kata, “Sesiapa yang berkahwin melakukan hal yang baik, tetapi sesiapa yang tidak berkahwin melakukan hal yang lebih baik.” (Baca 1 Korintus 7:32, 33, 38.) Mengapakah Bible kata membujang adalah “lebih baik”? Orang yang bujang tidak perlu menjaga keperluan pasangan. Maka mereka mempunyai lebih banyak kebebasan. Contohnya, mereka dapat meluaskan khidmat mereka dalam pelbagai cara, meluangkan lebih banyak masa untuk menghampiri Yehuwa, dan bahkan pergi ke negara lain untuk menginjil.
2. Apakah kebaikan berkahwin secara sah?
Seperti membujang, perkahwinan juga membawa manfaat. Bible kata, “Berdua lebih baik daripada seorang diri.” (Pengkhutbah 4:9) Pasangan suami isteri dapat merasai betapa benarnya ayat ini jika mereka mengikut prinsip Bible dan berkahwin secara sah. Mereka akan rasa lebih selamat kerana mereka telah berjanji untuk sentiasa menghargai, menghormati, dan mengasihi satu sama lain. Anak-anak yang membesar dalam suasana sebegini juga akan berasa lebih bahagia. Hal ini lebih baik daripada pasangan yang memilih untuk tinggal bersama tanpa berkahwin.
3. Apakah pandangan Yehuwa tentang perkahwinan?
Semasa mengasaskan perkahwinan yang pertama, Yehuwa kata, “Seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya dan tinggal bersama [atau, berpaut erat pada] isterinya.” (Kejadian 2:24, nota kaki) Yehuwa mahu pasangan suami isteri mengasihi satu sama lain dan mempunyai ikatan yang kekal sepanjang hayat. Tetapi jika salah seorang daripada mereka berzina, Yehuwa mengizinkan pihak yang tidak bersalah untuk memilih sama ada dia mahu bercerai atau tidak. a (Matius 19:9) Yehuwa juga melarang orang Kristian daripada mengamalkan poligami, iaitu mempunyai lebih daripada seorang suami atau isteri.—1 Timotius 3:2.
KETAHUILAH
Lihat bagaimana anda dapat tetap bersukacita dan membuat Yehuwa gembira, tidak kira anda bujang atau sudah berkahwin.
4. Guna kurniaan membujang dengan baik
Bagi Yesus, hidup membujang merupakan suatu kurniaan. (Matius 19:11, 12) Baca Matius 4:23, kemudian bincang soalan berikut:
Bagaimanakah Yesus menggunakan hidupnya sebagai orang bujang untuk Yehuwa dan orang lain?
Orang Kristian dapat menikmati masa bujang dengan meniru teladan Yesus. Mainkan VIDEO, kemudian bincang soalan berikut:
Bagaimanakah orang Kristian dapat menggunakan zaman bujang dengan baik?
Tahukah anda?
Bible tidak menetapkan umur untuk berkahwin. Tetapi, Bible menasihati orang bujang untuk menunggu sehingga mereka “melewati masa remaja.” Hal ini kerana nafsu seks sangat kuat ketika masih remaja dan dapat mengaburi daya pertimbangan mereka.—1 Korintus 7:36.
5. Pilih teman hidup dengan bijak
Memilih pasangan hidup ialah salah satu keputusan yang paling penting. Baca Matius 19:4-6, 9, kemudian bincang soalan berikut:
Mengapakah orang Kristian tidak patut terburu-buru untuk berkahwin?
Nasihat Bible membantu anda memilih pasangan yang sesuai. Paling penting, carilah teman hidup yang mengasihi Yehuwa. b Baca 1 Korintus 7:39 dan 2 Korintus 6:14, kemudian bincang soalan berikut:
Mengapakah kita hanya patut berkahwin dengan rakan seiman?
Apakah perasaan Yehuwa jika kita berkahwin dengan seseorang yang tidak mengasihi-Nya?
6. Pupuklah pandangan Yehuwa
Pada zaman Israel kuno, sesetengah lelaki menceraikan isteri atas sebab yang remeh. Baca Maleakhi 2:13, 14, 16, kemudian bincang soalan berikut:
Mengapakah Yehuwa membenci perceraian yang tidak selaras dengan prinsip Bible?
Mainkan VIDEO, kemudian bincang soalan berikut:
Jika pasangan anda tidak seiman, apakah yang dapat anda lakukan supaya perkahwinan anda berjaya?
7. Ikut nasihat Yehuwa tentang perkahwinan
Anda mungkin perlu mencurahkan banyak usaha untuk menerapkan nasihat Tuhan tentang perkahwinan. c Tapi ingatlah, Yehuwa akan memberkati usaha anda. Mainkan VIDEO.
Baca Ibrani 13:4, kemudian bincang soalan berikut:
Bagi anda, adakah piawaian Yehuwa tentang perkahwinan munasabah? Mengapa?
Yehuwa mahu pasangan Kristian memastikan perkahwinan atau perceraian dibuat menurut undang-undang negara. Baca Titus 3:1, kemudian bincang soalan berikut:
Adakah perkahwinan anda sah di sisi undang-undang?
ORANG MUNGKIN TANYA: “Buat apa mahu kahwin? Tidak salah untuk tinggal bersama, kan?”
Apakah jawapan anda?
RINGKASAN
Hidup membujang atau berkahwin ialah kurniaan daripada Yehuwa. Kedua-duanya dapat membawa sukacita dan kepuasan asalkan kita menerapkan nasihat Yehuwa.
Ulang Kaji
Bagaimanakah seseorang dapat menggunakan zaman bujangnya dengan baik?
Mengapakah Bible kata bahawa kita hanya patut berkahwin dengan rakan seiman?
Dalam Bible, apakah satu-satunya sebab bagi pasangan untuk bercerai?
JOM BELAJAR
Belajar mengapa seorang saudara berasa bahawa pengorbanan yang dibuatnya demi Yehuwa tidak sia-sia.
a Lihat Penjelasan 4 tentang pandangan Bible mengenai perpisahan.
b Dalam sesetengah budaya, ibu bapa akan memilih pasangan untuk anak mereka. Ibu bapa yang benar-benar sayang anak mereka akan memilih orang yang mengasihi Yehuwa, dan bukannya mengutamakan wang atau kedudukan.
c Jika anda sedang tinggal dengan seseorang tanpa berkahwin, anda sendiri perlu memutuskan sama ada untuk mengahwininya atau meninggalkannya.
NIKMATI HIDUP SELAMA-LAMANYA!—KURSUS PERBINCANGAN BIBLE