PELAJARAN 44
Adakah Semua Perayaan Menyenangkan Tuhan?
Yehuwa mahu kita menikmati hidup dan Dia tahu sesetengah perayaan dapat membuat kita rasa gembira. Tetapi, adakah semua perayaan menyenangkan hati Tuhan? Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kasih kepada Tuhan dalam soal ini?
1. Mengapakah banyak perayaan tidak menyenangkan hati Yehuwa?
Sesetengah perayaan tidak berdasarkan ajaran Bible atau mempunyai asal usul kafir. Ada perayaan yang berkaitan dengan ajaran agama palsu, seperti jiwa yang tidak dapat mati. Selain itu, sesetengah perayaan berkaitan dengan nasib dan tuah, kepercayaan karut, atau spiritisme. (Yesaya 65:11) Yehuwa berkata kepada penyembah-Nya, “Asingkanlah diri daripada mereka, . . . jangan lagi menyentuh perkara yang najis.”—2 Korintus 6:17. a
2. Apakah perasaan Yehuwa terhadap perayaan yang memuja manusia?
Yehuwa menasihati kita agar tidak “berharap kepada manusia fana.” (Baca Yeremia 17:5.) Tetapi sesetengah perayaan memuliakan pemerintah atau para askar. Yang lain pula, seperti hari kemerdekaan, membangkitkan semangat kebangsaan. (1 Yohanes 5:21) Ada juga yang diadakan untuk menyokong organisasi politik atau sosial. Sudah pasti Yehuwa rasa kecewa jika kita lebih memuliakan orang atau organisasi tertentu berbanding-Nya, terutamanya jika mereka bertindak bertentangan dengan kehendak-Nya!
3. Semasa perayaan, apakah sesetengah perbuatan yang dibenci oleh Yehuwa?
Bible mengutuk perbuatan “minum berlebihan, berpesta liar, [dan] berpesta minum.” (1 Petrus 4:3) Sesetengah perayaan menggalakkan perbuatan yang tidak bermoral. Orang yang menghadirinya juga sering berkelakuan dalam cara yang tidak terkawal. Untuk menjadi sahabat Yehuwa, kita harus menjauhi semua perbuatan tidak bermoral itu.
KETAHUILAH
Lihat bagaimana anda dapat membuat keputusan yang bijak berkenaan sambutan dan perayaan.
4. Jauhi sambutan yang tidak disenangi Yehuwa
Baca Efesus 5:10, kemudian bincang soalan berikut:
Semasa membuat keputusan sama ada untuk menyambut sesuatu perayaan atau tidak, apakah yang perlu kita pertimbangkan?
Apakah perayaan yang biasa disambut di kawasan anda?
Pada pendapat anda, adakah Yehuwa suka perayaan-perayaan itu?
Pernahkah anda fikir apakah perasaan Tuhan tentang sambutan hari jadi? Bible tidak pernah menyatakan bahawa penyembah Yehuwa menyambut hari jadi. Sebaliknya, dua hari jadi yang disebut diraikan oleh orang yang tidak menyembah Yehuwa. Baca Kejadian 40:20-22 dan Matius 14:6-10, kemudian bincang soalan berikut:
Apakah persamaan antara dua sambutan hari jadi itu?
Berdasarkan dua kisah itu, anda rasa apakah perasaan Yehuwa tentang sambutan hari jadi?
Anda mungkin fikir, “Adakah Yehuwa peduli sama ada saya menyambut hari jadi atau perayaan lain?” Baca Keluaran 32:1-8. Kemudian mainkan VIDEO, dan bincang soalan berikut:
Mengapakah penting untuk memastikan apa yang kita buat diterima oleh Yehuwa?
Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian?
Apakah perayaan yang tidak diterima Tuhan?
Perayaan yang berdasarkan ajaran palsu. Buatlah kajian tentang asal usulnya.
Perayaan yang memuja manusia, organisasi, atau negara. Ingatlah, kita mahu memuliakan Yehuwa dan bergantung pada-Nya untuk menyelesaikan semua masalah manusia.
Perayaan yang mempunyai adat dan amalan yang bertentangan dengan Bible. Kita mahu tetap bersih secara moral.
5. Bantu orang lain menghormati kepercayaan anda
Apabila orang mengajak anda untuk menyertai sambutan yang tidak menyenangkan Yehuwa, anda mungkin rasa susah untuk menolak. Tapi, anda dapat menjelaskan keputusan anda dengan sabar dan sopan. Mainkan VIDEO untuk lihat caranya.
Baca Matius 7:12, kemudian bincang soalan berikut:
Berdasarkan ayat ini, patutkah anda memberitahu ahli keluarga yang tidak seiman bahawa mereka tidak boleh menyambut perayaan tertentu?
Bagaimanakah anda dapat meyakinkan keluarga anda bahawa anda masih mengasihi dan menghargai mereka, walaupun anda tidak menyambut perayaan tertentu bersama mereka?
6. Yehuwa mahu kita hidup gembira
Yehuwa mahu kita bergembira bersama keluarga dan sahabat kita. Baca Pengkhutbah 8:15, kemudian bincang soalan berikut:
Bagaimanakah ayat ini menunjukkan bahawa Yehuwa mahu kita hidup gembira?
Yehuwa mahu umat-Nya menikmati masa yang seronok bersama-sama. Mainkan VIDEO untuk lihat bagaimana umat Tuhan bergembira semasa konvensyen antarabangsa.
Baca Ibrani 13:2, kemudian bincang soalan berikut:
Perlukah kita tunggu perayaan tertentu untuk “menyambut orang dengan ramah”?
Apakah yang buat anda lebih gembira? Terpaksa memberi sempena perayaan, atau memberi dengan rela hati pada bila-bila masa?
Dari masa ke masa, ibu bapa Saksi mengatur sesuatu yang istimewa untuk anak-anak atau memberikan hadiah kepada mereka. Jika anda ada anak, apakah hal-hal istimewa yang dapat anda lakukan untuk mereka?
ADA ORANG KATA: “Asal usul perayaan tidak penting. Saya cuma mahu luangkan masa dan bergembira dengan keluarga dan kawan-kawan.”
Bagaimanakah anda menjawabnya?
RINGKASAN
Yehuwa mahu kita bergembira bersama kawan-kawan dan keluarga. Tetapi Dia mahu kita mengelakkan perayaan yang tidak menyenangkan hati-Nya.
Ulang Kaji
Bagaimanakah anda dapat tahu sama ada perayaan tertentu diterima oleh Yehuwa atau tidak?
Bagaimanakah kita dapat membantu keluarga dan kawan-kawan untuk memahami mengapa kita tidak menyertai perayaan tertentu?
Bagaimanakah anda tahu bahawa Yehuwa mahu kita hidup gembira dan berseronok?
JOM BELAJAR
Jutaan orang Kristian memilih untuk tidak menyambut Krismas. Bacalah perasaan mereka tentang keputusan itu.
“Mereka Menemui Sesuatu yang Lebih Baik” (Menara Pengawal, 1 Disember 2012)
a Lihat Penjelasan 5 untuk menangani situasi yang timbul semasa perayaan.
NIKMATI HIDUP SELAMA-LAMANYA!—KURSUS PERBINCANGAN BIBLE