PELAJARAN 49
Rahsia Kebahagiaan Keluarga—Bahagian 1
Pasangan yang baru melangkah ke alam perkahwinan pasti berharap mereka akan hidup bahagia buat selama-lamanya. Sebenarnya, hal ini dapat dicapai. Banyak pasangan yang menerapkan nasihat Bible telah menikmati perkahwinan yang bahagia dan kekal.
1. Apakah nasihat Bible bagi suami?
Yehuwa melantik para suami sebagai kepala keluarga. (Baca Efesus 5:23.) Maka mereka bertanggungjawab untuk membuat keputusan demi kebaikan keluarga. Dalam Bible, suami dinasihati untuk ‘terus mengasihi isteri’ mereka. (Efesus 5:25) Apakah maksudnya? Seorang suami yang benar-benar mengasihi isterinya akan melayannya dengan baik, tidak kira semasa di luar atau di rumah. Dia akan melindungi isterinya dan menjaga keperluan fizikal dan emosinya. (1 Timotius 5:8) Yang paling penting, dia akan menjaga keperluan rohaninya. (Matius 4:4) Contohnya, mereka boleh berdoa dan membaca Bible bersama-sama. Suami yang menjaga isteri dengan baik dapat mengekalkan hubungan yang akrab dengan Yehuwa.—Baca 1 Petrus 3:7.
2. Apakah nasihat Bible bagi isteri?
Bible kata bahawa seorang isteri “harus menghormati suaminya dengan mendalam.” (Efesus 5:33) Bagaimanakah dia dapat melakukannya? Tidak kira suaminya mengenali Yehuwa atau tidak, dia boleh memikirkan sifat-sifat baik suami dan usahanya untuk menjaga keluarga. Selain itu, dia patut menyokong keputusan suaminya dan bersikap lemah lembut terhadapnya. Dia juga tidak patut memburuk-burukkannya di hadapan orang lain.
3. Bagaimanakah suami isteri dapat kuatkan ikatan perkahwinan mereka?
Mengenai orang yang sudah berkahwin, Bible kata, “Mereka berdua akan menjadi satu.” (Matius 19:5) Maka mereka tidak patut membiarkan apa-apa mewujudkan jurang dalam hubungan mereka. Sebaliknya, mereka akan meluangkan masa bersama dan berkomunikasi secara jujur dan terbuka untuk mengeratkan hubungan mereka. Mereka patut mengutamakan Yehuwa dan satu sama lain. Mereka akan berhati-hati agar tidak bermain cinta atau membiarkan kasih mereka mula berbelah bahagi.
KETAHUILAH
Kaji prinsip Bible yang dapat menguatkan perkahwinan anda.
4. Suami—Kasihi dan jaga isteri anda
Bible kata, “Suami harus mengasihi isteri seperti mengasihi tubuh sendiri.” (Efesus 5:28, 29) Apakah maksudnya? Mainkan VIDEO, kemudian bincang soalan berikut:
Bagaimanakah suami menunjukkan dia mengasihi dan menjaga isterinya?
Baca Kolose 3:12, kemudian bincang soalan berikut:
Bagaimanakah suami dapat menunjukkan sifat-sifat ini dalam perkahwinannya?
5. Isteri—Kasihi dan hormati suami anda
Yehuwa mahu isteri menghormati suami biarpun dia tidak seiman. Baca 1 Petrus 3:1, 2, kemudian bincang soalan berikut:
Jika suami anda tidak seiman, anda pasti ingin dia menjadi penyembah Yehuwa. Pada pendapat anda, yang manakah lebih baik? Membanjirinya dengan ajaran Bible atau menunjukkan hormat dan sikap yang baik? Mengapa?
Apabila suami dan isteri bekerjasama, mereka dapat membuat keputusan yang baik. Ada kalanya, isteri mungkin tidak setuju dengan pandangan suami. Jika hal itu berlaku, dia dapat meluahkan pendapatnya dengan tenang dan hormat. Tetapi dia juga harus ingat bahawa Yehuwa telah memberi suami kuasa untuk membuat keputusan dalam keluarga. Maka, dia harus berusaha menyokong keputusan suaminya. Hal itu dapat mewujudkan suasana yang damai dan bahagia dalam keluarga. Baca 1 Petrus 3:3-5, kemudian bincang soalan berikut:
Apakah perasaan Yehuwa terhadap isteri yang menghormati suaminya?
6. Anda dapat mengatasi masalah perkahwinan
Perkahwinan yang sempurna tidak wujud. Pasangan suami isteri harus bekerja keras untuk mengatasi masalah mereka. Mainkan VIDEO, kemudian bincang soalan berikut:
Apakah yang menunjukkan bahawa hubungan pasangan dalam video ini mula menjadi renggang?
Apakah yang mereka lakukan untuk menguatkan ikatan perkahwinan mereka?
Baca 1 Korintus 10:24 dan Kolose 3:13. Selepas membaca setiap ayat, bincang soalan berikut:
Bagaimanakah nasihat dalam ayat ini dapat menguatkan perkahwinan?
Bible kata kita harus menghormati dan melayan satu sama lain dengan baik. Baca Roma 12:10, kemudian bincang soalan berikut:
Patutkah suami atau isteri menunggu sehingga pasangannya menunjukkan hormat kepadanya? Mengapa?
ADA ORANG KATA: “Hubungan kami tidak lagi rapat seperti dulu.”
Bagaimanakah anda dapat meyakinkannya bahawa Bible dapat membantu perkahwinannya?
RINGKASAN
Suami isteri dapat menikmati perkahwinan yang bahagia jika mereka mengasihi dan menghormati satu sama lain serta menerapkan prinsip Bible.
Ulang Kaji
Bagaimanakah suami dapat menjadikan perkahwinannya bahagia?
Bagaimanakah isteri dapat menjadikan perkahwinannya bahagia?
Jika anda sudah berkahwin, prinsip Bible manakah yang dapat mengukuhkan perkahwinan anda?
JOM BELAJAR
Belajar nasihat yang dapat membantu anda menikmati keluarga yang bahagia.
Lihat bagaimana prinsip Bible dapat membantu perkahwinan anda.
NIKMATI HIDUP SELAMA-LAMANYA!—KURSUS PERBINCANGAN BIBLE