PELAJARAN 51
Gunakan Kurniaan Bercakap untuk Muliakan Yehuwa
Semasa menciptakan manusia, Yehuwa memberi kita kebolehan untuk bercakap. Adakah Dia peduli bagaimana kita menggunakan kurniaan itu? Sudah pasti. (Baca Yakobus 1:26.) Jadi, bagaimanakah kita dapat memuliakan Yehuwa melalui pertuturan kita?
1. Bagaimanakah kita dapat menggunakan kurniaan bercakap dengan baik?
Bible kata, “Teruslah menggalakkan dan menguatkan satu sama lain, sebagaimana yang sedang kamu lakukan.” (1 Tesalonika 5:11) Bagaimanakah kita dapat menerapkan nasihat ini? Kita boleh memikirkan seseorang yang memerlukan galakan. Kemudian, kita boleh meyakinkannya bahawa kita mengasihinya dan memberitahunya apa yang kita hargai tentangnya. Kita juga boleh mengongsi satu atau dua ayat Bible yang membina. Ingatlah, cara kita bercakap pun penting. Jadi, ucapkanlah kata-kata yang baik dengan lemah lembut.—Amsal 15:1.
2. Apakah pertuturan yang harus kita elakkan?
Bible kata, “Janganlah biarkan kata-kata yang busuk keluar daripada mulut kamu.” (Baca Efesus 4:29.) Maka kita tidak patut menggunakan kata-kata kesat atau sengaja mengatakan sesuatu untuk menyakiti hati seseorang. Kita juga tidak mahu mengumpat atau memfitnah orang lain.—Baca Amsal 16:28.
3. Apakah yang dapat membantu kita mengucapkan kata-kata yang membina?
Kita sering kali mengatakan apa yang ada dalam hati. (Lukas 6:45) Jadi kita harus berusaha menanam hal-hal baik dalam hati kita. Kita dapat berbuat demikian dengan memilih hiburan dan pergaulan dengan bijak, serta berusaha untuk bertumpu kepada perkara yang murni, yang patut dikasihi, yang baik, dan yang patut dipuji. (Amsal 13:20; Filipi 4:8) Selain itu, ingatlah juga untuk berfikir sebelum bercakap. Bible memberitahu kita, “Kata-kata yang melulu ibarat tikaman pedang, tetapi kata-kata orang yang bijak dapat menyembuhkan orang lain.” (Amsal 12:18) Semoga kita menggunakan kata-kata kita untuk membina dan menggalakkan orang.
KETAHUILAH
Lihat bagaimana kita dapat bercakap dalam cara yang menyenangkan Yehuwa dan menggalakkan orang lain.
4. Kawal pertuturan anda
Ada kalanya, kita mungkin menyesal kerana terlanjur kata. (Yakobus 3:2) Baca Galatia 5:22, 23, kemudian bincang soalan berikut:
Kita perlu minta bantuan Yehuwa agar dapat memupuk sifat-sifat baik dan menggunakan pertuturan dengan bijak. Apakah sifat yang ingin anda pupuk? Bagaimanakah sifat-sifat itu dapat membantu anda?
Baca 1 Korintus 15:33, kemudian bincang soalan berikut:
Apakah pengaruh kawan-kawan dan hiburan terhadap cara anda bercakap?
Baca Pengkhutbah 3:7, kemudian bincang soalan berikut:
Bilakah kita patut berdiam diri atau menunggu masa yang sesuai untuk bercakap?
5. Bercakap baik tentang orang lain
Bagaimanakah kita dapat elakkan kata-kata yang menghina atau menyakiti hati orang? Mainkan VIDEO, kemudian bincang soalan berikut:
Mengapakah saudara dalam video ini ingin mengubah cara dia bercakap tentang orang lain?
Apakah langkah yang diambilnya untuk berubah?
Baca Roma 14:10, kemudian bincang soalan berikut:
Bagaimanakah nasihat dalam ayat ini membantu kita apabila kita terasa ingin memburuk-burukkan orang lain?
Baca Pengkhutbah 7:21, 22, kemudian bincang soalan berikut:
Bagaimanakah ayat ini membantu anda mengawal reaksi diri apabila mendengar orang lain bercakap buruk tentang anda?
6. Bercakap kepada ahli keluarga dengan lemah lembut
Yehuwa mahu kita bercakap kepada ahli keluarga kita dengan baik dan pengasih. Mainkan VIDEO, kemudian bincang soalan berikut:
Apakah yang membantu anda bercakap dengan baik kepada ahli keluarga?
Baca Efesus 4:31, 32, kemudian bincang soalan berikut:
Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kasih kepada keluarga melalui cara kita bercakap?
Yehuwa mengungkapkan perasaan-Nya terhadap Anak-Nya Yesus. Baca Matius 17:5, kemudian bincang soalan berikut:
Bagaimanakah anda dapat meniru Yehuwa semasa bercakap dengan ahli keluarga?
ADA ORANG KATA: “Suka hati sayalah apa saya mahu cakap. Saya tidak peduli apa orang fikir.”
Adakah anda setuju dengan pendapat itu? Mengapa?
RINGKASAN
Kata-kata kita sangat berkuasa. Maka, kita harus berfikir sebelum bercakap. Fikirkan apa yang kita ingin kata, bila untuk mengucapkannya, dan bagaimana kita meluahkannya.
Ulang Kaji
Bagaimanakah kita dapat menggalakkan orang lain melalui kata-kata kita?
Apakah pertuturan yang harus kita hindari?
Bagaimanakah kita dapat memastikan kita sentiasa bercakap dalam cara yang baik dan membina?
JOM BELAJAR
Ketahui bagaimana anda dapat elakkan jerat gosip.
NIKMATI HIDUP SELAMA-LAMANYA!—KURSUS PERBINCANGAN BIBLE