PELAJARAN 56
Kekalkan Perpaduan dalam Sidang
Apabila kita berkumpul bersama rakan seiman, sudah pasti kita rasa seperti yang diluahkan Raja Daud, “Alangkah baiknya dan indahnya apabila semua saudara hidup bersatu padu!” (Mazmur 133:1) Perpaduan umat Tuhan tidak berlaku secara kebetulan. Kita masing-masing perlu memainkan peranan kita agar dapat mewujudkan suasana yang damai ini.
1. Apakah hal-hal istimewa yang wujud dalam kalangan Saksi-Saksi Yehuwa?
Saksi-Saksi Yehuwa berusaha ‘menyeru nama Yehuwa dan bersatu padu untuk menyembah-Nya.’ (Zefanya 3:9, nota kaki.) Sememangnya, umat Tuhan adalah seperti sebuah keluarga yang besar. Jika kita melancong ke negara lain dan menghadiri perjumpaan di sana, kita dapat merasai kasih yang hangat biarpun kita tidak faham bahasa yang dituturkan. Selain itu, kita juga rasa selesa kerana kita menggunakan bahan bacaan yang sama untuk belajar Bible. Bukankah perpaduan kita sangat istimewa?
2. Bagaimanakah anda dapat menyumbang kepada perpaduan ini?
Bible kata, “Kasihilah satu sama lain dengan mendalam daripada hati.” (1 Petrus 1:22) Kita boleh menunjukkan kasih kepada saudara saudari dengan bertumpu kepada sifat-sifat baik dan bukannya kelemahan mereka. Selain itu, kita mahu meluaskan pergaulan kita dan mengenali rakan seiman daripada pelbagai latar belakang dan bukannya bergaul dengan orang yang sama minat dengan kita sahaja. Adalah penting juga untuk menyingkirkan prasangka dari hati kita.—Baca 1 Petrus 2:17. a
3. Apakah yang harus dilakukan jika anda mempunyai salah faham dengan rakan seiman?
Kita semua tidak sempurna. Jadi kita mungkin menyakiti atau mengecewakan satu sama lain. Tetapi Bible menasihati kita, ‘Teruslah mengampuni dengan rela hati, sepertimana Yehuwa mengampuni kamu dengan rela hati, kamu juga mesti berbuat demikian.’ (Baca Kolose 3:13.) Ingatlah, kita juga sering menyakiti hati Yehuwa, tetapi Dia selalu mengampuni kita. Sudah tentu Dia gembira apabila kita mengikut teladan-Nya. Jadi jika anda rasa anda telah menyinggung perasaan seseorang, ambillah inisiatif untuk berdamai.—Baca Matius 5:23, 24. b
KETAHUILAH
Belajar bagaimana anda dapat menyumbang kepada kedamaian dan perpaduan sidang.
4. Singkirkan prasangka
Kita ingin mengasihi semua saudara saudari, tapi kita mungkin susah menerima sesetengah rakan seiman. Apakah yang dapat membantu kita? Baca Kisah 10:34, 35, kemudian bincang soalan berikut:
Yehuwa menerima semua orang sebagai penyembah-Nya. Bagaimanakah hal ini mempengaruhi pandangan anda terhadap orang yang berlainan latar belakang?
Orang di kawasan anda sering berprasangka terhadap siapa?
Baca 2 Korintus 6:11-13, kemudian bincang soalan berikut:
Bagaimanakah anda dapat menjadi lebih rapat dengan saudara saudari daripada latar belakang yang berbeza?
5. Rela mengampuni dan berdamai
Yehuwa sentiasa sudi mengampuni kita walaupun Dia tidak perlu kita memaafkan-Nya. Baca Mazmur 86:5, kemudian bincang soalan berikut:
Bagaimanakah kita tahu Yehuwa sudi mengampuni kita?
Adakah anda bersyukur atas pengampunan Yehuwa? Mengapa?
Apakah situasi yang mungkin menimbulkan perselisihan faham antara kita dengan rakan seiman?
Bagaimanakah kita dapat meniru contoh Yehuwa dan kekalkan perpaduan? Baca Amsal 19:11, kemudian bincang soalan berikut:
Apabila seseorang menyinggung perasaan anda, bagaimanakah anda dapat membuat situasi itu lebih baik?
Jika kita menyinggung perasaan orang lain, apakah yang patut kita lakukan? Mainkan VIDEO, kemudian bincang soalan berikut:
Bagaimanakah saudari dalam video ini berusaha berdamai dengan rakan Kristiannya?
6. Carilah kebaikan saudara saudari
Semakin kerap kita meluangkan masa dengan saudara saudari, semakin mudah kita melihat kekuatan dan kelemahan mereka. Bagaimanakah kita dapat bertumpu kepada sifat baik mereka? Mainkan VIDEO, kemudian bincang soalan berikut:
Apakah yang dapat membantu anda melihat sifat baik saudara saudari?
Yehuwa mencari sifat-sifat baik dalam diri kita. Baca 2 Tawarikh 16:9a, kemudian bincang soalan berikut:
Apakah perasaan anda selepas mengetahui Yehuwa bertumpu kepada sifat baik anda?
ADA ORANG KATA: “Kalau dia minta maaf dulu, baru saya akan maafkan dia.”
Mengapakah baik untuk mengambil langkah pertama dan mengampuni orang dengan rela hati?
RINGKASAN
Anda dapat menyumbang kepada perpaduan sidang dengan menunjukkan kasih dan rela mengampuni.
Ulang Kaji
Bagaimanakah anda dapat menyingkirkan prasangka terhadap orang?
Apakah yang harus anda lakukan jika anda ada salah faham dengan rakan seiman?
Mengapakah anda mahu meniru contoh Yehuwa dan mengampuni dengan rela hati?
JOM BELAJAR
Belajar lebih banyak tentang perumpamaan Yesus yang membantu kita agar tidak menghakimi orang.
a Penjelasan 6 membincangkan bagaimana kasih mendorong kita untuk berjaga-jaga agar tidak menyebarkan penyakit berjangkit.
b Penjelasan 7 membincangkan cara menangani masalah perniagaan dan perundangan.
NIKMATI HIDUP SELAMA-LAMANYA!—KURSUS PERBINCANGAN BIBLE