Penjelasan

Penjelasan
Tunjuk Perkataan Sembunyi Perkataan
  1.  Siapakah Babilon Besar?

  2.  Bilakah Mesias Muncul?

  3.  Kaedah Perubatan yang Melibatkan Darah

  4.  Perpisahan

  5.  Sambutan dan Perayaan

  6.  Penyakit Berjangkit

  7.  Hal Perniagaan dan Perundangan

 1. Siapakah Babilon Besar?

Bagaimanakah kita tahu bahawa “Babilon Besar” melambangkan semua agama palsu? (Wahyu 17:5) Lihatlah sebab-sebab berikut:

  • Dia mempengaruhi seluruh dunia. Babilon Besar dikatakan sedang duduk di atas “orang ramai, [dan] bangsa.” Dia juga “berkuasa atas raja-raja di bumi.”​—Wahyu 17:15, 18.

  • Dia bukanlah kuasa politik atau perdagangan. “Raja-raja di bumi” dan “para saudagar” masih ada ketika Babilon Besar dimusnahkan.​—Wahyu 18:9, 15.

  • Dia wakil yang palsu dan merosakkan nama baik Tuhan. Bible memanggilnya seorang pelacur kerana dia bekerjasama dengan kerajaan demi kepentingan sendiri atau untuk mendapatkan wang. (Wahyu 17:1, 2) Dia menyesatkan orang dari pelbagai bangsa dan menyebabkan kematian ramai orang.​—Wahyu 18:23, 24.

Kembali ke pelajaran 13 poin 6

 2. Bilakah Mesias Muncul?

Bible menubuatkan bahawa Mesias muncul selepas suatu tempoh masa yang dipanggil 69 minggu.​—Baca Daniel 9:25.

  • Bilakah tempoh 69 minggu bermula? Pada tahun 455 SM. Ketika itu, Nehemia tiba di Yerusalem “untuk memulihkan dan membina semula” kota itu.​—Daniel 9:25; Nehemia 2:1, 5-8.

  • Berapa lamakah tempoh 69 minggu ini? Bagi sesetengah nubuat Bible, satu hari boleh melambangkan satu tahun. (Bilangan 14:34; Yehezkiel 4:6) Maka, panjang setiap minggu ialah tujuh tahun, dan 69 minggu bersamaan dengan 483 tahun (69 minggu x 7 hari).

  • Bilakah tempoh 69 minggu berakhir? Jika kita mengira 483 tahun dari tahun 455 SM, kita akan sampai pada tahun 29 M. a Pada tahun itulah Yesus dibaptis dan menjadi Mesias!​—Lukas 3:1, 2, 21, 22.

Kembali ke pelajaran 15 poin 5

 3. Kaedah Perubatan yang Melibatkan Darah

Terdapat beberapa kaedah perubatan yang melibatkan penggunaan darah sendiri. Tetapi sebagai orang Kristian, sesetengah kaedah perubatan tidak sesuai bagi kita. Contohnya, kita tidak akan menderma darah atau menyimpan darah sendiri untuk digunakan semasa pembedahan pada kemudian hari.​—Ulangan 15:23.

Namun, terdapat banyak kaedah lain yang dapat diterima orang Kristian. Contohnya ujian darah, hemodialisis, proses pencairan darah (hemodilution), atau penggunaan mesin penyelamatan sel (cell salvage) dan mesin jantung paru-paru (heart-lung bypass). Setiap orang Kristian harus membuat keputusan sendiri tentang bagaimana darahnya akan digunakan dalam pembedahan, ujian makmal, atau rawatan perubatan. Kaedah yang digunakan oleh setiap doktor mungkin berbeza. Maka sebelum menerima apa-apa rawatan perubatan, pembedahan, atau ujian makmal, seorang Kristian harus mengetahui apa yang akan doktor lakukan terhadap darahnya. Mari kita lihat beberapa contoh berikut:

  • Katakan darah saya disalurkan keluar daripada tubuh saya, dan peredaran darah saya terganggu untuk suatu jangka masa semasa pembedahan. Jika hal itu berlaku, adakah hati nurani saya membenarkan saya untuk menganggap darah ini sebahagian daripada tubuh saya, dan dengan demikian tidak perlu ‘dicurahkan ke tanah’?​—Ulangan 12:23, 24.

  • Katakan semasa suatu prosedur perubatan, darah saya dikeluarkan, diubah kandungannya, lalu dikembalikan ke dalam tubuh saya atau diletakkan ke atas luka saya. Jika hal itu berlaku, adakah hati nurani saya yang sudah terlatih akan terganggu atau adakah saya akan menerimanya?

Kembali ke pelajaran 39 poin 3

 4. Perpisahan

Bible kata suami isteri tidak patut berpisah. Jika mereka memilih untuk berpisah, Bible menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak bebas untuk berkahwin semula. (1 Korintus 7:10, 11) Apakah sesetengah situasi yang menyebabkan orang Kristian memilih untuk berpisah dengan teman hidup mereka?

  • Enggan menyara keluarga: Suami enggan menampung kehidupan keluarga sehingga mereka tiada keperluan asas.​—1 Timotius 5:8.

  • Penderaan fizikal yang teruk: Seseorang didera sehingga kesihatan atau nyawanya terancam.​—Galatia 5:19-21.

  • Langsung tidak dapat menyembah Yehuwa: Seseorang mengalami tentangan yang teruk daripada teman hidupnya sehingga mustahil baginya untuk menyembah Yehuwa.​—Kisah 5:29.

Kembali ke pelajaran 42 poin 3

 5. Sambutan dan Perayaan

Orang Kristian tidak akan menyambut perayaan yang tidak menyenangkan hati Yehuwa. Namun dalam sesetengah situasi, kita perlu menggunakan hati nurani yang dilatih oleh prinsip Bible untuk membuat keputusan. Mari kita bincang contoh berikut:

  • Orang mengucapkan salam kepada anda sempena perayaan. Anda boleh kata, “Terima kasih.” Jika orang itu ingin tahu lebih banyak, anda boleh jelaskan sebab anda tidak merayakannya.

  • Pasangan anda yang bukan Saksi-Saksi Yehuwa mengajak anda makan bersama saudara-mara pada hari perayaan. Jika hati nurani anda mengizinkan anda untuk pergi, anda boleh beritahunya lebih awal bahawa anda tidak akan menyertai apa-apa adat yang bercanggah dengan ajaran Bible.

  • Majikan anda memberi anda bonus semasa perayaan. Patutkah anda menolaknya? Tidak semestinya. Adakah majikan anda menganggap bonus itu sebahagian daripada adat perayaan itu? Atau adakah dia sekadar ingin menunjukkan penghargaan atas kerja baik anda?

  • Seseorang memberi anda hadiah semasa perayaan. Dia mungkin kata, “Saya tahu kamu tidak menyambut perayaan ini, tapi saya cuma mahu beri kamu hadiah.” Sebelum memutuskan untuk menerima atau menolak suatu hadiah, tanyalah diri, “Adakah dia sekadar ingin menunjukkan kemurahan hati? Atau adakah dia ingin menguji iman saya dan melibatkan saya dalam perayaan itu?” Tidak kira apa keputusan anda, ingatlah Bible menggalakkan kita untuk memiliki hati nurani yang murni dan tetap setia kepada Yehuwa.​—Kisah 23:1.

Kembali ke pelajaran 44 poin 1

 6. Penyakit Berjangkit

Kita mengasihi orang. Maka jika kita menghidap penyakit yang berjangkit atau kita mungkin telah terdedah kepada penyakit yang berjangkit, kita berhati-hati agar tidak menyebarkannya kepada orang lain. Mengapa? Kerana kita mahu mengikut nasihat berikut: “Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.”​—Roma 13:8-10.

Apakah hal-hal yang patut kita ingat? Orang yang ada penyakit berjangkit tidak patut mengadakan kontak fizikal, seperti berjabat tangan, memeluk, atau mencium orang lain. Dia juga tidak akan rasa kecil hati jika orang tidak menjemputnya ke rumah kerana ingin melindungi diri atau keluarga mereka. Sebelum dibaptis, dia akan beritahu koordinator badan penatua tentang penyakitnya agar aturan dapat dibuat untuk melindungi calon pembaptisan yang lain. Sebelum berdating, orang yang mungkin terdedah kepada penyakit yang berjangkit patut membuat ujian darah secara sukarela. Dengan berbuat demikian, dia menunjukkan bahawa dia ‘menjaga kepentingan orang lain, dan bukan hanya kepentingan diri sendiri.’​—Filipi 2:4.

Kembali ke pelajaran 56 poin 2

 7. Hal Perniagaan dan Perundangan

Kita dapat mencegah banyak masalah dengan memastikan semua urusan kewangan kita tertulis dengan jelas biarpun semasa berurusan dengan rakan seiman. (Yeremia 32:9-12) Namun, kadangkala masalah kecil berkenaan wang atau hal lain mungkin timbul antara orang Kristian. Jika hal itu berlaku, mereka patut menyelesaikannya secara peribadi dengan cepat dan damai.

Bagaimanakah kita dapat menyelesaikan masalah yang lebih serius seperti tipu muslihat atau fitnah? (Baca Matius 18:15-17.) Yesus menggalakkan kita untuk ikut tiga langkah yang berikut:

  1. Cuba selesaikan masalah tersebut sesama sendiri.​—Lihat ayat 15.

  2. Jika hal ini tidak berjaya, mintalah bantuan satu atau dua orang rakan seiman yang matang.​—Lihat ayat 16.

  3. Jika hal ini masih gagal diselesaikan, mintalah bantuan para penatua.​—Lihat ayat 17.

Dalam kebanyakan situasi, kita tidak akan membawa masalah kita ke mahkamah kerana hal itu akan memburukkan nama Yehuwa dan sidang. (1 Korintus 6:1-8) Namun tuntutan mahkamah mungkin perlu dibuat jika ini melibatkan perceraian, hak penjagaan anak, alimoni (bayaran nafkah), pampasan insurans, kemuflisan (bankrap), atau wasiat. Dalam situasi sebegini, kita tidak melanggar nasihat Bible jika kita membuat tuntutan mahkamah untuk menyelesaikan masalah dengan damai.

Jika hal ini melibatkan jenayah yang serius, seperti rogol, penderaan kanak-kanak, serangan, rompakan, atau pembunuhan, kita tidak melanggar nasihat Bible jika kita melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Kembali ke pelajaran 56 poin 3

a Jumlah dari 455 SM hingga 1 SM ialah 454 tahun. Dari 1 SM hingga 1 M ialah 1 tahun (tahun 0 SM/M tidak wujud). Dari 1 M hingga 29 M ialah 28 tahun. Jumlah keseluruhan ialah 483 tahun.