BAB 9

Adakah Akhir Dunia Sudah Dekat?

Adakah Akhir Dunia Sudah Dekat?

1. Bagaimanakah kita dapat mengetahui apa yang akan berlaku pada masa depan?

SEMASA melihat berita, anda mungkin berfikir, “Teruknya dunia sekarang!” Terdapat begitu banyak masalah dan kekejaman di dunia ini sehingga sesetengah orang percaya bahawa akhir dunia sudah dekat. Adakah hal itu benar? Bagaimanakah kita dapat mengetahui apa yang akan berlaku pada masa depan? Manusia tidak dapat meramal masa depan, tetapi Tuhan Yehuwa dapat. Melalui Bible, Dia memberitahu kita apa yang akan terjadi kepada kita dan bumi.​—Yesaya 46:10; Yakobus 4:14.

2, 3. Apakah yang ingin diketahui murid-murid Yesus? Apakah jawapan Yesus?

2 Menurut Bible, akhir dunia tidak bermaksud bumi akan dimusnahkan, tetapi bermaksud kejahatan akan dilenyapkan. Hal itu kerana Yesus mengajar bahawa Kerajaan Tuhan akan memerintah bumi. (Lukas 4:43) Murid-muridnya ingin tahu bila Kerajaan Tuhan akan datang, maka mereka menanya Yesus, “Bila hal-hal ini akan berlaku, dan apakah tanda bagi kehadiranmu dan penghujung sistem ini?” (Matius 24:3) Yesus tidak menyebut tarikhnya, tetapi dia memberitahu mereka apa yang akan berlaku sejurus sebelum akhir dunia. Hal-hal yang disebut Yesus sedang berlaku sekarang.

3 Dalam bab ini, kita akan melihat bukti bahawa akhir dunia sudah sangat dekat. Mula-mula, kita akan belajar tentang perang yang berlaku di syurga. Dengan itu, kita akan memahami sebabnya keadaan dunia sekarang begitu teruk.

PERANG DI SYURGA

4, 5. (a) Apakah yang berlaku di syurga tidak lama selepas Yesus menjadi Raja? (b) Menurut Wahyu 12:12, apakah yang berlaku selepas Syaitan dibuang ke bumi?

4 Dalam Bab 8, kita belajar bahawa Yesus menjadi Raja di syurga pada tahun 1914. (Daniel 7:13, 14) Buku Wahyu berkata, “Perang tercetus di syurga: Mikhael [iaitu, Yesus] dengan malaikat-malaikatnya berperang melawan naga itu [Syaitan]. Naga dan malaikat-malaikatnya juga berperang melawan mereka.” * Syaitan dan roh-roh jahat dikalahkan lalu dibuang ke bumi. Para malaikat di syurga pasti sangat gembira! Tetapi bagaimana pula dengan orang di bumi? Bible berkata bahawa mereka akan menghadapi banyak masalah. Mengapa? Si Iblis sangat marah kerana dia “tahu bahawa masanya tinggal sedikit.”​—Wahyu 12:7, 9, 12.

5 Si Iblis mengamuk dan menimbulkan banyak masalah di bumi, kerana dia tahu bahawa Tuhan akan mengurungnya tidak lama lagi. Mari kita lihat apa yang dikatakan Yesus tentang hari-hari terakhir.—Lihat Penjelasan 24.

HARI-HARI TERAKHIR

6, 7. Bagaimanakah kata-kata Yesus tentang perang dan kelaparan berlaku hari ini?

6 Perang. Yesus berkata, “Satu bangsa akan menyerang bangsa yang lain, dan satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain.” (Matius 24:7) Lebih ramai orang mati akibat perang pada zaman kita berbanding zaman dulu. Menurut sebuah laporan, sejak tahun 1914, lebih daripada 100 juta orang telah terkorban kerana perang. Jumlah orang yang mati dalam perang antara tahun 1900 dengan 2000 adalah jauh lebih banyak daripada orang yang terbunuh dalam perang sebelum tahun 1900. Peperangan telah menyebabkan jutaan orang hidup susah dan sengsara!

7 Kelaparan. Yesus berkata, ‘Kebuluran akan terjadi.’ (Matius 24:7) Walaupun terdapat banyak makanan di bumi, ramai orang masih kelaparan. Mengapa? Kerana mereka tidak cukup wang untuk membeli makanan atau membeli tanah untuk bercucuk tanam. Lebih daripada satu bilion orang hidup sangat miskin. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, jutaan kanak-kanak mati setiap tahun kerana kekurangan makanan.

8, 9. Bagaimanakah kata-kata Yesus tentang gempa bumi dan penyakit berlaku hari ini?

8 Gempa bumi. Yesus bernubuat bahawa “gempa bumi yang dahsyat akan berlaku.” (Lukas 21:11) Banyak gempa bumi yang kuat dijangka berlaku setiap tahun. Sejak tahun 1900, lebih daripada dua juta orang telah mati kerana gempa bumi. Walaupun teknologi sekarang lebih canggih, ramai orang masih terkorban.

9 Penyakit. Yesus berkata bahawa “wabak,” iaitu penyakit yang berbahaya, akan merebak dengan cepat dan membunuh banyak orang. (Lukas 21:11) Walaupun doktor kini pandai merawat banyak penyakit, terdapat penyakit yang tidak dapat diubati. Jutaan orang mati setiap tahun akibat tibi, kanser, dan penyakit lain. Sejak 40 tahun yang lalu, doktor juga menemui lebih daripada 30 jenis penyakit baharu, dan ada antaranya yang tidak dapat diubati.

SIFAT ORANG PADA HARI-HARI TERAKHIR

10. Bagaimanakah kata-kata di 2 Timotius 3:1-5 berlaku hari ini?

10 Di 2 Timotius 3:1-5, Bible menyatakan, “Pada hari-hari terakhir, akan tiba masa genting yang sukar dihadapi.” Rasul Paulus berkata bahawa pada hari-hari terakhir, orang akan

  • mementingkan diri

  • mencintai wang

  • tidak mematuhi ibu bapa

  • tidak setia

  • tidak menyayangi keluarga

  • tidak tahu mengawal diri

  • ganas dan suka bergaduh

  • mencintai kesenangan dan bukannya Tuhan

  • berpura-pura mengasihi Tuhan tetapi tidak mentaati-Nya

11. Menurut Mazmur 92:7, apakah yang akan berlaku kepada orang jahat?

11 Adakah orang di sekeliling anda bersikap sebegitu? Walaupun terdapat banyak orang jahat di dunia, Tuhan berjanji, “Meskipun orang jahat tumbuh subur seperti lalang dan semua orang yang melakukan kejahatan hidup makmur, akhirnya mereka akan dibinasakan buat selama-lamanya.” (Mazmur 92:7) Hal itu akan berlaku tidak lama lagi.

BERITA BAIK PADA HARI-HARI TERAKHIR

12, 13. Yehuwa mengajar kita tentang apa pada hari-hari terakhir?

12 Bible bernubuat bahawa dunia akan penuh dengan kesusahan dan penderitaan pada hari-hari terakhir, tetapi Bible juga mengatakan bahawa ada hal baik yang akan berlaku.

“Berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi.”​—Matius 24:14

13 Memahami Bible. Nabi Daniel menulis bahawa pada hari-hari terakhir, “pengetahuan yang benar akan berlimpah-limpah.” (Daniel 12:4) Tuhan akan membantu umat-Nya memahami Bible dengan lebih jelas. Yehuwa telah berbuat demikian terutamanya sejak tahun 1914. Contohnya, Dia mengajar kita tentang kepentingan nama-Nya, tujuan-Nya bagi bumi, tebusan, kebenaran tentang kematian, dan pembangkitan. Kita telah belajar bahawa hanya Kerajaan Tuhan dapat menyelesaikan semua masalah kita. Kita juga belajar cara untuk hidup bahagia dan cara menggembirakan Tuhan. Selepas belajar semua itu, apakah yang dilakukan hamba-hamba Tuhan? Jawapannya terdapat dalam satu lagi nubuat Bible.​—Lihat Penjelasan 21 dan 25.

14. Berita baik tentang Kerajaan Tuhan disebarkan di mana? Siapakah yang sedang menyebarkannya?

14 Kerja penyebaran di serata bumi. Yesus berkata bahawa pada hari-hari terakhir, “berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi.” (Matius 24:3, 14) Kini, berita baik sudah disebarkan di lebih daripada 240 negara dan kawasan, dalam lebih daripada 900 bahasa. Di seluruh bumi, Saksi-Saksi Yehuwa daripada ‘semua bangsa dan suku’ sedang mengajar orang tentang Kerajaan Tuhan dan apa yang akan dilakukan oleh Kerajaan-Nya. (Wahyu 7:9) Mereka mengajar orang dengan percuma. Walaupun banyak orang membenci dan menindas mereka, tiada apa-apa yang dapat menghalang kerja penyebaran, seperti yang dinubuatkan Yesus.​—Lukas 21:17.

APAKAH YANG AKAN ANDA BUAT?

15. (a) Adakah anda percaya bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir? Mengapa? (b) Apakah yang akan terjadi kepada orang yang mentaati Yehuwa dan orang yang tidak mentaati-Nya?

15 Adakah anda percaya bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir? Banyak nubuat Bible tentang hari-hari terakhir sudah terjadi. Tidak lama lagi, Yehuwa akan menghentikan kerja penyebaran dan “akhir,” iaitu Armagedon, akan datang. (Matius 24:14) Ketika itu, Yehuwa akan menyuruh Yesus dan malaikat-malaikat untuk melenyapkan semua orang yang enggan mematuhi Dia dan Anak-Nya. (2 Tesalonika 1:6-9) Selepas semua kejahatan dilenyapkan, Syaitan dan roh-roh jahat tidak dapat menyesatkan orang. Manusia yang mentaati Tuhan dan menyokong Kerajaan-Nya akan melihat semua janji Tuhan menjadi kenyataan.​—Wahyu 20:1-3; 21:3-5.

16. Oleh sebab akhir sudah begitu dekat, apakah yang harus anda buat?

16 Dunia sekarang dikuasai Syaitan, tetapi akan berakhir tidak lama lagi. Jadi, apakah yang harus kita buat? Kita mesti rajin belajar Bible untuk mengenali Yehuwa. (Yohanes 17:3) Saksi-Saksi Yehuwa mengadakan perjumpaan setiap minggu untuk mengajar orang tentang Bible. Cubalah menghadiri perjumpaan itu dengan tetap. (Baca Ibrani 10:24, 25.) Jika anda sedar anda perlu membuat perubahan, janganlah takut untuk melakukannya. Dengan itu, anda akan menjadi semakin erat dengan Yehuwa.​—Yakobus 4:8.

17. Mengapakah kebanyakan orang akan terkejut semasa akhir tiba?

17 Rasul Paulus menjelaskan bahawa orang jahat akan dibinasakan pada waktu yang tidak disangka ramai orang, “seperti pencuri datang pada waktu malam.” (1 Tesalonika 5:2) Yesus bernubuat bahawa walaupun terdapat bukti bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir, ramai orang tidak mahu mengambil peduli. Dia berkata, “Sebagaimana keadaannya pada zaman Nuh, begitulah keadaannya semasa kehadiran Anak Manusia [atau, hari-hari terakhir]. Sebelum Banjir melanda, orang makan dan minum, lelaki dan wanita berkahwin, sehingga pada hari Nuh masuk ke dalam bahtera. Mereka tidak ambil peduli, sehingga Banjir melanda dan melenyapkan mereka semua. Begitulah keadaannya semasa kehadiran Anak Manusia.”​—Matius 24:37-39.

18. Apakah amaran yang diberikan Yesus?

18 Yesus mengingatkan kita agar jangan biar hal seperti “makan berlebihan, minum berlebihan, dan kekhuatiran hidup,” membuat kita lupa bahawa akhir sudah dekat. Mengapa? Kerana akhir akan datang tiba-tiba “seperti perangkap” dan “menimpa semua penduduk di seluruh muka bumi.” Yesus menambah, “Jadi, teruslah berjaga-jaga dan sentiasalah merayu kepada Tuhan agar kamu dapat diselamatkan daripada semua hal ini yang mesti berlaku dan dapat berdiri di hadapan Anak Manusia.” (Lukas 21:34-36) Mengapakah kita perlu mendengar amaran Yesus? Sebab tidak lama lagi dunia jahat ini akan dimusnahkan. Hanya orang yang menggembirakan Yehuwa dan Yesus akan diselamatkan dan hidup kekal di dunia baharu.​—Yohanes 3:16; 2 Petrus 3:13.

^ per. 4 Mikhael ialah nama lain bagi Yesus Kristus. Untuk maklumat lanjut, sila lihat Penjelasan 23.