BAB 13

Hargailah Nyawa

Hargailah Nyawa

1. Siapakah yang memberi kita nyawa?

YEHUWA ialah “Tuhan yang hidup.” (Yeremia 10:10) Dialah Pencipta kita, dan Dialah yang memberi kita nyawa. Bible berkata, “Engkau menciptakan segala sesuatu, dan kerana kehendak-Mu segala sesuatu wujud dan diciptakan.” (Wahyu 4:11) Yehuwa mahu kita hidup, dan nyawa ialah kurniaan-Nya yang amat bernilai.​—Baca Mazmur 36:9.

2. Apakah yang perlu kita buat untuk berjaya dalam kehidupan?

2 Yehuwa memberi kita makanan dan air supaya kita dapat terus hidup. (Kisah 17:28) Bukan itu sahaja, Dia mahu kita menikmati kehidupan. (Kisah 14:15-17) Untuk berjaya dalam kehidupan, kita perlu mematuhi hukum Tuhan.​—Yesaya 48:17, 18.

PANDANGAN TUHAN TERHADAP NYAWA

3. Apakah yang dilakukan Yehuwa selepas Kain membunuh Habel?

3 Bible mengajar kita bahawa nyawa kita dan nyawa orang lain berharga bagi Yehuwa. Fikirkan contoh Kain, iaitu anak kepada Adam dan Hawa. Semasa Kain sangat marah dengan adiknya Habel, Yehuwa memberitahunya bahawa kemarahan itu perlu dikawal. Tetapi Kain tidak mendengar nasihat Tuhan. Akhirnya dia begitu marah sehingga dia “menyerang Habel lalu membunuhnya.” (Kejadian 4:3-8) Yehuwa menghukum Kain atas perbuatannya itu. (Kejadian 4:9-11) Ya, rasa marah dan benci sangat berbahaya kerana dapat membuat kita menjadi ganas atau kejam. Orang yang ganas dan kejam tidak akan diberi hidup kekal. (Baca 1 Yohanes 3:15.) Untuk menggembirakan Yehuwa, kita mesti belajar mengasihi semua orang.​—1 Yohanes 3:11, 12.

4. Bagaimanakah perintah Tuhan kepada orang Israel menunjukkan pandangan-Nya terhadap nyawa?

4 Beberapa ribu tahun kemudian, Yehuwa menunjukkan bahawa nyawa berharga bagi-Nya semasa Dia memberi Musa Sepuluh Hukum. Salah satu perintah dalam Hukum itu berbunyi, “Jangan membunuh.” (Ulangan 5:17) Sesiapa yang sengaja membunuh orang harus dihukum mati.

5. Apakah pandangan Tuhan terhadap menggugurkan anak?

5 Bagaimana pula dengan menggugurkan anak? Nyawa anak dalam kandungan juga berharga bagi Yehuwa. Menurut Hukum yang diberikan Yehuwa kepada orang Israel, jika seseorang mencederakan wanita yang mengandung, lalu anaknya mati, orang itu harus dihukum mati. (Baca Keluaran 21:22, 23; Mazmur 127:3.) Perintah Tuhan menunjukkan bahawa menggugurkan anak adalah salah.​—Lihat Penjelasan 28.

6, 7. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kepada Yehuwa bahawa kita menghargai nyawa?

6 Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kepada Yehuwa bahawa kita menghargai nyawa sendiri dan orang lain? Jauhilah apa-apa yang akan membahayakan nyawa sendiri atau orang lain. Maksudnya kita tidak akan merokok, makan sirih, mengunyah buah pinang, atau mengambil dadah, kerana semua itu merosakkan kesihatan dan membahayakan nyawa.

7 Nyawa dan tubuh kita ialah kurniaan Tuhan. Dia mahu kita menjaga tubuh dan menjauhi amalan buruk. Jika tidak, kita akan menjadi tidak suci dalam pandangan-Nya. (Roma 6:19; 12:1; 2 Korintus 7:1) Yehuwalah yang memberi kita nyawa. Jika kita tidak menghargai nyawa, kita tidak dapat menyembah Yehuwa. Tetapi jika kita menghargai nyawa dan terus berusaha untuk membuang tabiat buruk, Yehuwa akan membantu kita walaupun tabiat itu susah dibuang.

8. Apakah yang dapat kita buat supaya tidak membahayakan nyawa sendiri atau orang lain?

8 Kita sudah belajar bahawa nyawa itu berharga. Yehuwa tidak mahu kita membahayakan nyawa sendiri atau orang lain. Maksudnya kita akan memandu kenderaan atau menunggang motosikal dengan cermat. Kita mengelakkan sukan yang berbahaya atau ganas. (Mazmur 11:5) Kita juga memastikan rumah kita selamat. Yehuwa memberitahu orang Israel, “Jika kamu membina rumah baharu, kamu harus memasang pagar di sekeliling bumbung rumah itu. Dengan demikian, kamu dan keluarga kamu tidak akan berhutang darah jika seseorang terjatuh dari situ.”​—Ulangan 22:8.

9. Bagaimanakah kita patut melayan binatang?

9 Cara kita melayan binatang juga penting bagi Yehuwa. Dia membenarkan kita membunuh binatang untuk mendapat makanan atau pakaian, atau untuk melindungi nyawa kita. (Kejadian 3:21; 9:3; Keluaran 21:28) Tetapi kita tidak boleh berlaku kejam terhadap binatang atau membunuh binatang hanya untuk keseronokan.​—Amsal 12:10.

NYAWA ITU SUCI

10. Bagaimanakah kita tahu bahawa darah melambangkan nyawa?

10 Darah itu suci bagi Yehuwa kerana darah melambangkan nyawa. Selepas Kain membunuh Habel, Yehuwa memberitahunya, “Darah adikmu berseru kepada-Ku dari tanah.” (Kejadian 4:10) Darah Habel melambangkan nyawanya, dan Yehuwa telah menghukum Kain kerana membunuh Habel. Selepas Banjir pada zaman Nuh, Yehuwa menegaskan sekali lagi bahawa darah melambangkan nyawa. Yehuwa memberitahu Nuh dan keluarganya, “Kamu boleh makan setiap binatang yang hidup. . . . Tetapi kamu tidak boleh makan daging yang masih berdarah, kerana darah melambangkan nyawa.”​—Kejadian 1:29; 9:3, 4.

11. Apakah perintah Tuhan kepada orang Israel tentang darah?

11 Kira-kira 800 tahun selepas Yehuwa melarang Nuh makan darah, Dia memberitahu orang Israel, “Jika kamu atau orang asing yang tinggal dalam kalangan kamu sedang memburu dan menangkap seekor binatang liar atau burung yang boleh dimakan, dia mesti mencurahkan darah binatang tersebut lalu menutupi darah itu dengan tanah.” Tuhan menambah, “Kamu semua tidak boleh makan darah.” (Imamat 17:13, 14) Yehuwa mahu umat-Nya ingat bahawa darah itu suci. Mereka boleh makan daging tetapi tidak boleh makan darah. Darah daripada binatang yang akan dimakan harus dicurahkan ke tanah.

12. Apakah pandangan orang Kristian terhadap darah?

12 Beberapa tahun selepas kematian Yesus, para rasul dan penatua di Yerusalem berkumpul untuk menentukan bahagian-bahagian dalam Hukum Musa yang masih perlu dipatuhi orang Kristian. (Baca Kisah 15:28, 29; 21:25.) Yehuwa membantu mereka faham bahawa darah masih bernilai bagi-Nya dan masih perlu dianggap suci. Orang Kristian tidak boleh makan atau minum darah, dan tidak boleh makan daging binatang yang darahnya tidak dikeluarkan. Orang yang melanggar perintah itu sama seperti orang yang menyembah berhala atau melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral. Maka orang Kristian sejati enggan makan atau minum darah. Hari ini, Yehuwa masih mahu kita menganggap darah itu suci.

13. Mengapakah orang Kristian tidak menerima transfusi darah?

13 Adakah hal itu bermaksud orang Kristian harus menolak transfusi atau pemindahan darah? Ya. Yehuwa melarang kita makan atau minum darah. Fikirkan, jika doktor memberitahu anda, “Jangan minum alkohol,” adakah anda akan menyuntik alkohol ke dalam badan sendiri? Sudah tentu tidak! Begitu juga, oleh sebab Yehuwa melarang kita makan atau minum darah, kita tidak akan menerima transfusi darah.​—Lihat Penjelasan 29.

14, 15. Apakah yang akan dilakukan oleh orang Kristian yang menghargai nyawa dan taat kepada Yehuwa?

14 Bagaimana pula jika doktor berkata bahawa kita akan mati tanpa transfusi darah? Setiap orang perlu memilih sama ada dia akan mematuhi hukum Tuhan tentang darah atau tidak. Orang Kristian sangat menghargai nyawa yang dikurniakan Tuhan. Maka kita akan mencari rawatan lain agar dapat terus hidup, tetapi kita tidak akan menerima transfusi darah.

15 Kita berusaha menjaga kesihatan. Namun, oleh sebab darah melambangkan nyawa dan dianggap suci oleh Tuhan, kita tidak akan menerima transfusi darah. Mematuhi Yehuwa lebih penting daripada melanggar perintah-Nya semata-mata untuk memanjangkan hayat. Yesus berkata, “Sesiapa yang ingin menyelamatkan nyawanya akan kehilangan nyawanya.” (Matius 16:25) Kita mahu taat kepada Yehuwa kerana kita mengasihi-Nya. Yehuwa mengetahui apa yang terbaik bagi kita, dan seperti Dia, kita menganggap nyawa itu suci dan berharga.​—Ibrani 11:6.

16. Mengapakah hamba-hamba Tuhan mematuhi-Nya?

16 Hamba-hamba Tuhan yang setia bertekad untuk mematuhi hukum-Nya tentang darah. Mereka tidak akan makan atau minum darah, dan mereka tidak akan menerima darah untuk tujuan perubatan. * Namun, mereka akan menerima rawatan lain untuk menyelamatkan nyawa mereka. Mereka percaya bahawa Pencipta nyawa dan darah mengetahui apa yang terbaik bagi mereka. Adakah anda juga percaya?

SATU-SATUNYA KEGUNAAN DARAH YANG DIIZINKAN YEHUWA

17. Apakah satu-satunya kegunaan darah yang diizinkan Yehuwa?

17 Dalam Hukum Musa, Yehuwa berkata, “Nyawa setiap makhluk hidup terkandung dalam darahnya. Aku sudah menentukan bahawa darah harus dicurahkan di atas mazbah bagi memohon pengampunan dosa untuk diri kamu sendiri. Darah itulah yang dapat menebus dosa.” (Imamat 17:11) Apabila orang Israel ingin meminta Yehuwa mengampunkan dosa mereka, mereka perlu mengorbankan seekor binatang di Rumah Tuhan. Di sana, imam akan mencurahkan darah binatang itu ke atas mazbah. Itulah satu-satunya kegunaan darah yang diizinkan Yehuwa.

18. Apakah peluang yang terbuka kepada kita kerana korban Yesus?

18 Semasa Yesus datang ke bumi, dia telah memberikan darahnya, atau nyawanya, supaya dosa kita diampunkan. Perbuatannya telah menggantikan hukum tentang korban binatang. (Matius 20:28; Ibrani 10:1) Nyawa Yesus sangat berharga. Dengan adanya korban Yesus, Tuhan dapat memberi semua manusia peluang untuk hidup kekal.​—Yohanes 3:16; Ibrani 9:11, 12; 1 Petrus 1:18, 19.

Bagaimanakah anda boleh menunjukkan bahawa anda menghargai nyawa dan darah?

19. Apakah yang harus kita buat jika kita ingin “bersih daripada darah semua orang”?

19 Tidakkah kita bersyukur kepada Yehuwa kerana memberi kita nyawa? Kita mengasihi orang lain, oleh itu kita ingin mengajar mereka untuk beriman kepada Yesus, supaya mereka dapat hidup selama-lamanya. (Yehezkiel 3:17-21) Dengan itu, kita dapat berkata seperti Rasul Paulus, “Aku bersih daripada darah semua orang. Aku tidak pernah teragak-agak untuk memberitahu kamu tentang segala tujuan Tuhan.” (Kisah 20:26, 27) Apabila kita memberitahu orang tentang Yehuwa dan pandangan-Nya terhadap nyawa, kita menunjukkan bahawa kita menghargai nyawa dan darah.

^ per. 16 Maklumat tentang transfusi darah terdapat di muka surat 87-89 dalam buku Terus Hidup di Bawah Naungan Kasih Tuhan yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.