Keruntuhan Nilai Moral
Keruntuhan Nilai Moral
DI SERATA dunia, banyak orang setuju bahawa sejak Perang Dunia Pertama, nilai moral manusia telah merosot dengan teruk. Profesor sejarah yang bernama Robert Wohl menulis dalam bukunya yang berjudul The Generation of 1914, “Orang yang selamat mengharungi perang itu sedar bahawa satu era telah berakhir dan dunia telah memasuki era baharu sejak Ogos 1914.”
“Di merata tempat, nilai moral orang yang sudah merosot kini menjunam ke tahap yang sangat rendah,” kata sejarawan Norman Cantor. “Jika ahli politik dan jeneral melayan manusia seperti binatang untuk dikorbankan, tiada apa-apa lagi yang dapat menghalang orang daripada memperlakukan satu sama lain seperti binatang buas. . . . Penumpahan darah yang berlaku pada Perang Dunia Pertama [1914 -18] telah menyebabkan nyawa manusia mula dipandang murah.”
Karya sejarawan H. G. Wells yang bertajuk The Outline of History menyatakan bahawa teori evolusi yang diterima umum menyebabkan “nilai moral orang merosot.” Mengapa? Kerana sesetengah orang berpandangan bahawa manusia ialah keturunan binatang.” H. G. Wells yang merupakan penyokong evolusi menulis pada 1920, “Memandangkan manusia menganggap diri seperti anjing pemburu . . . , tidak hairanlah mereka yang kuat dan berkuasa rasa mereka berhak untuk menindas dan membuli yang lemah.”
Cantor yang disebut tadi juga berkata, “Pandangan generasi sebelumnya mengenai hal politik, pemakaian, dan nilai moral langsung diketepikan oleh generasi yang baharu.” Gereja juga menyumbang kepada kemerosotan moral dunia pada masa itu kerana mereka menyokong teori evolusi dan perang. Seorang jeneral British yang bernama Frank Crozier menulis, “Gereja-gereja menggalakkan pembunuhan dan hal yang ganas. Maka, kami menggunakan gereja untuk menyokong perjuangan kami.”
Nilai Moral Diketepikan
Pada 1920-an, nilai moral telah diketepikan. Orang mula menjadi liar dan hidup bebas tanpa batas. Sejarawan Frederick Lewis Allen berkata, “Jangka masa 10 tahun selepas perang [dunia pertama] boleh digelar sebagai Dekad Biadab. . . . Piawaian moral tentang apa yang baik dan buruk sudah lenyap.”
Pada 1930-an, dunia memasuki Zaman Meleset dan banyak orang hidup melarat akibat kemiskinan. Beberapa tahun kemudian, dunia dicengkam satu lagi perang yang lebih teruk, iaitu Perang Dunia Kedua. Sesetengah negara menghasilkan banyak senjata yang menggerunkan. Meskipun hal ini membantu ekonomi negara, kesan perang telah membawa keperitan yang tidak dapat dibayangkan. Apabila perang ini berakhir, ratusan bandar telah dilenyapkan. Sebagai contoh, dua bandar di Jepun telah hancur sepenuhnya akibat bom atom. Selain itu, jutaan orang telah terkorban dalam kem konsentrasi. Sekitar 50 juta nyawa lelaki, wanita, dan kanak-kanak diragut oleh perang ini.
Sikap dan nilai moral manusia turut terjejas akibat Perang Dunia Kedua. Orang tidak lagi mahu mengikut kebiasaan lama, sebaliknya mereka mahu hidup bebas. Buku Love, Sex and War—Changing Values, 1939-45, menyatakan, “Semasa di medan perang, perbuatan seks rambang dianggap biasa. . . . Sedihnya, perbuatan yang diterima di medan perang mula meresap ke dalam kehidupan seharian orang. Akibatnya, ikatan perkahwinan mula dipandang remeh dan dianggap sebagai sesuatu yang tidak berkekalan.”
Disebabkan mereka mungkin kehilangan nyawa pada bila-bila masa, orang sangat menginginkan sokongan emosi. Mengenai kebebasan seks pada zaman itu, seorang suri rumah tangga di England berkata, “Perbuatan kami tidak dikira sebagai perbuatan yang tidak bermoral sebab masa itu ada perang.” Seorang askar dari Amerika pula berkata, “Orang lain mungkin rasa perbuatan kami tidak bermoral. Tapi kami masih muda, dan kami mungkin mati bila-bila masa.”
Sememangnya, perang telah membawa parut emosi yang mendalam dan merobohkan nilai moral masyarakat. Hingga hari ini, ada yang dihantui oleh kejadian semasa zaman perang dan trauma itu dibawa sepanjang hayat mereka. Orang tidak lagi menghormati sempadan tentang apa yang baik dan buruk.
Normal Baharu
Selepas Perang Dunia Kedua, beberapa kajian tentang kegiatan seksual telah diterbitkan. Salah satunya dilakukan di Amerika Syarikat pada 1940-an dan dipanggil Laporan Kinsey. Setelah laporan 800 halaman ini dikeluarkan, orang mula bercakap secara terbuka tentang topik seks. Meskipun sesetengah statistik yang dilaporkan mengenai perbuatan homoseksual dan perbuatan seks lain kemudian didapati dibesar-besarkan, secara am kajian itu menunjukkan bahawa nilai moral telah meleset sejak perang berakhir.
Usaha dicurahkan untuk membendung masalah ini, contohnya, industri radio, filem, dan TV cuba menapis hal-hal yang tidak bermoral. Tetapi usaha ini hanya berkesan buat sementara waktu. William Bennett, bekas setiausaha pendidikan A.S. kata, “Pada 1960-an, keadaan moral di Amerika Syarikat mula menjunam ke tahap yang sangat rendah dan masyarakat menjadi seolah-olah tidak bertamadun.” Lambat laun, budaya ini merebak ke negara lain. Apakah yang berlaku pada 1960-an yang menyumbang kepada kemerosotan moral ini?
Pada zaman 60-an, terdapat revolusi seksual dan gerakan untuk menjunjung hak wanita. Selain itu, pil perancang telah dihasilkan. Maka, orang dapat melakukan hubungan seks secara bebas dan tidak takut hamil. Disebabkan itu, ramai melakukan hubungan intim tanpa sebarang komitmen.
Pada masa itu juga, pihak media, filem, dan televisyen menggalakkan unsur-unsur yang tidak bermoral. Zbigniew Brzezinski, bekas ketua Majlis Keselamatan Negara A.S. komen tentang apa yang dipaparkan di TV, “Kesenangan diri, perbuatan ganas dan kejam, dan seks bebas digalakkan secara terang-terangan.”
Pada 1970-an, alat perakam kaset video (VCR) menjadi semakin popular. Disebabkan perkembangan ini, wayang lucah yang dahulunya tidak mungkin ditonton di panggung wayang kini dapat ditonton di rumah sendiri. Pada zaman moden ini pula, Internet membolehkan orang mengakses bahan pornografi yang jauh lebih menjijikkan dengan hanya satu klik.
Kesannya sangat menakutkan. Seorang warden penjara di A.S. berkata, “Kalau 10 tahun lalu, saya masih boleh menasihati orang muda di sini tentang apa yang betul dan apa yang salah. Tapi sekarang, jangan haraplah. Mereka pun tidak faham apa yang saya maksudkan.”
Dari Manakah Bimbingan Dapat Diperoleh?
Kita tidak dapat bergantung pada gereja untuk mendapatkan bimbingan yang baik. Mengapa? Kerana gereja tidak berpegang pada prinsip Bible yang diajar oleh Yesus dan pengikutnya yang setia. Sebaliknya, mereka menjadi sebahagian daripada dunia ini dan kejahatannya. Contohnya dalam soal perang, seorang penulis menyatakan bahawa pemimpin gereja di kedua-dua pihak sering memohon berkat Tuhan dan mendakwa bahawa Tuhan menyokong pertempuran mereka. Bagaimana pula dalam soal moral? Seorang pemimpin gereja berkata dengan sinis, “Syarat-syarat untuk menjadi ahli gereja lebih rendah daripada syarat untuk menaiki bas.”
Jelaslah, nilai moral dunia telah merosot ke tahap yang sangat teruk. Apakah yang dapat dilakukan untuk memulihkannya? Siapakah yang berdaya untuk mengubah keadaan, dan bagaimanakah hal ini dapat dicapai?
[Petikan pada muka surat 5]
“Penumpahan darah yang berlaku pada Perang Dunia Pertama [1914 -18] telah menyebabkan nyawa manusia mula dipandang murah”
[Kotak pada muka surat 6]
NILAI MORAL MANUSIA
Dahulu, orang mempunyai pandangan yang jelas tentang nilai moral bagi apa yang baik dan buruk. Contohnya, seseorang mungkin dikenali sebagai orang yang jujur atau tidak, setia atau tidak, dan sebagainya. Tetapi, banyak orang tidak lagi hidup mengikut piawaian moral yang tinggi. Sebaliknya mereka mempunyai pegangan hidup dan pandangan masing-masing tentang apa yang betul dan salah. Hal ini menimbulkan masalah. Sejarawan yang bernama Gertrude Himmelfarb menulis dalam The De-Moralization of Society, ‘Piawaian moral tidak berubah, tetapi pegangan hidup seseorang mungkin berubah-ubah mengikut kesukaannya.’
Dia menambah bahawa pegangan hidup “boleh merangkumi kepercayaan, pandangan, sikap, perasaan, tabiat, kebiasaan, kesukaan, prasangka, apa-apa saja yang dianggap penting oleh seseorang atau masyarakat pada suatu ketika.” Pada zaman ini, orang berasa mereka berhak untuk memilih pegangan hidup sendiri, sama seperti mereka memilih barangan semasa membeli-belah. Jika demikian, nilai moral dan piawaian tentang apa yang baik dan buruk akan lenyap.
[Gambar pada muka surat 6, 7]
Hiburan yang memudaratkan lebih senang didapati
SEDARLAH!