PANDANGAN BIBLE

Berjudi

Berjudi

Sesetengah orang menganggap judi sebagai hobi dan permainan saja. Yang lain pula memandangnya sebagai sesuatu yang bahaya.

Salahkah berjudi?

APA PANDANGAN ORANG

Ramai orang berasa bahawa judi menyeronokkan dan tidak salah jika tidak melanggar undang-undang negara. Di sesetengah negara, terdapat loteri yang dianjurkan oleh pihak kerajaan, dan dana yang diperoleh melaluinya digunakan untuk manfaat rakyat.

NASIHAT BIBLE

Bible tidak menyebut perbuatan judi secara terus terang. Tetapi terdapat prinsip lain yang dapat membantu kita mengetahui pandangan Tuhan.

Perjudian menggalakkan ketamakan dan sikap suka bersaing. Tetapi Bible menasihati kita, “Hindarilah semua bentuk ketamakan.” (Lukas 12:15) Tempat perjudian sering mengiklankan hadiah jackpot yang besar tetapi mereka tidak menunjukkan betapa tipisnya peluang untuk menang. Maka, orang yang ingin menjadi kaya akan mempertaruhkan banyak wang untuk menang.

Sebenarnya, bermain judi juga menyebabkan seseorang bersikap mementingkan diri. Penjudi akan harap orang lain kalah supaya dia dapat menang wang besar. Tapi ini bercanggah dengan nasihat Bible yang berkata, “Berusaha melakukan apa yang berfaedah bagi orang lain, dan bukan hanya melakukan apa yang berfaedah bagi diri sendiri.” (1 Korintus 10:24) Selain itu, dalam Sepuluh Hukum ada kata, “Jangan mengingini kepunyaan orang lain.”​—Keluaran 20:17.

Perjudian juga sering dikaitkan dengan nasib yang baik atau tuah. Pada zaman orang Israel kuno, terdapat orang yang percaya kepada nasib dan “menyediakan meja makan bagi Dewa Nasib.” Apakah perasaan Tuhan terhadap perbuatan ini? Bible kata, “Kamu asyik melakukan apa yang jahat di mata-Ku, dan kamu memilih untuk melakukan perkara yang tidak menyenangkan hati-Ku.”​—Yesaya 65:11, 12.

Memang, sesetengah negara menggunakan dana daripada perjudian yang sah untuk memajukan sektor pendidikan, ekonomi, dan projek lain. Namun, kita harus ingat cara duit itu diperoleh menggalakkan orang untuk bersikap tamak, mementingkan diri, dan membangkitkan keinginan untuk menjadi kaya tanpa usaha.

“Jangan mengingini kepunyaan orang lain.”​—Keluaran 20:17.

Apakah kesan buruk berjudi?

NASIHAT BIBLE

Bible kata, “Orang yang bertekad untuk menjadi kaya akan menyerah kepada godaan, jatuh ke dalam jerat, dan ditawan oleh banyak keinginan yang sia-sia dan yang memudaratkan. Keinginan sebegini menyebabkan orang terjerumus ke dalam lembah kebinasaan dan kemusnahan.” (1 Timotius 6:9) Berjudi menggalakkan seseorang untuk bersikap tamak, tetapi Bible kata “ketamakan” sangat memudaratkan dan mesti dijauhi.​—Efesus 5:3.

Perjudian juga menanam sikap cinta akan wang dalam diri seseorang. Tetapi Bible kata bahawa cinta akan wang ialah “akar kepada segala macam kejahatan.” Keinginan seseorang untuk memiliki kekayaan boleh menjadi begitu kuat sehingga menjejaskan hubungan dan imannya terhadap Tuhan. Dia mungkin sering risau tentang wang dan menjadi terlalu khuatir. Oleh itu, Bible kata bahawa orang sebegitu seolah-olah “menikam diri dengan banyak kesakitan.”​—1 Timotius 6:10.

Orang yang tamak juga tidak pernah rasa puas dengan apa yang mereka miliki. “Orang yang mencintai perak, tidak akan berasa puas dengan perak. Begitu juga, orang yang mencintai kekayaan, tidak akan berasa puas dengan pendapatannya,” kata Bible. (Pengkhutbah 5:10) Sudah tentu orang sebegini tidak akan bahagia.

Sedihnya, banyak orang yang berjudi akhirnya menjadi ketagih. Ini masalah yang besar. Menurut satu anggaran, terdapat jutaan orang yang ketagihan judi di Amerika Syarikat.

Bible kata, “Meskipun orang yang tamak menjadi kaya,pada akhirnya, kekayaan itu tidak akan membawa berkat kepadanya.” (Amsal 20:21) Sebenarnya, berjudi menyebabkan banyak masalah seperti berhutang keliling pinggang, menjadi muflis, kehilangan kerja atau kawan, dan mengalami masalah rumah tangga. Berita baiknya ialah kita dapat mengelakkan masalah seperti ini dan hidup bahagia jika kita mengikut nasihat Bible.

“Orang yang bertekad untuk menjadi kaya akan menyerah kepada godaan, jatuh ke dalam jerat, dan ditawan oleh banyak keinginan yang sia-sia dan yang memudaratkan. Keinginan sebegini menyebabkan orang terjerumus ke dalam lembah kebinasaan dan kemusnahan.”1 Timotius 6:9.