KISAH HIDUP
Walaupun Pekak, Saya Masih Dapat Mengajar Orang
Diceritakan oleh Walter Markin
Saya dibaptis pada tahun 1941 ketika berumur 12 tahun, tetapi saya hanya memahami kebenaran Alkitab dengan jelas pada tahun 1946. Mengapa? Mari saya ceritakan.
PADA tahun 1910-an, ibu bapa saya berhijrah dari Tbilisi, Georgia, ke bahagian barat Kanada. Rumah kecil mereka terletak di sebuah ladang berhampiran Pelly, Saskatchewan. Saya anak bongsu yang lahir pada tahun 1928, dan mempunyai enam orang abang dan kakak. Ayah meninggal enam bulan sebelum saya lahir, dan Mak meninggal semasa saya masih bayi. Tidak lama kemudian, Lucy, kakak sulung saya, meninggal pada usia 17 tahun. Selepas itu, saya dan adik-beradik saya dijaga oleh Pak Cik Nick.
Suatu hari, semasa saya kanak-kanak, saya menarik-narik ekor seekor kuda jantan. Keluarga saya berteriak menyuruh saya berhenti kerana takut kuda itu menendang saya, tetapi saya tidak dapat dengar. Syukurlah saya tidak dicederakan, tetapi itulah harinya mereka sedar bahawa saya pekak.
Pak Cik Nick mengikuti cadangan seorang kawan dan mendaftarkan saya di sebuah sekolah bagi orang pekak yang terletak di Saskatoon, Saskatchewan. Saya berasa takut untuk berpindah ke sana kerana saya berumur lima tahun dan sekolah itu sangat jauh dari rumah kami. Saya hanya dapat melawat keluarga saya semasa cuti umum dan cuti sekolah. Tetapi secara beransur-ansur, saya belajar bahasa isyarat dan dapat bermain dengan rakan sekolah saya.
BELAJAR KEBENARAN ALKITAB
Pada tahun 1939, kakak kedua saya, Marion, berkahwin dengan Bill Danylchuck, dan mula menjaga saya dan Frances, iaitu kakak ketiga. Dalam keluarga saya, merekalah yang pertama berjumpa dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Semasa musim cuti, mereka akan mencuba mengongsi ajaran Bible dengan saya. Hal itu susah kerana mereka tidak tahu bahasa isyarat. Tetapi mereka nampak saya suka hal-hal rohani. Saya juga faham bahawa kerja penyebaran ada kaitan dengan ajaran Bible, jadi saya pun ikut mereka menginjil. Tidak lama kemudian, saya mahu dibaptis. Jadi pada 5 September 1941, Bill telah membaptiskan saya dalam tong besi yang berisi air perigi. Bukan main sejuk air itu!
Semasa cuti sekolah pada tahun 1946, kami menghadiri konvensyen di Ohio, A.S. Pada hari pertama, kakak-kakak saya bergilir-gilir menulis isi penting program untuk saya. Pada hari kedua pula, saya sangat gembira kerana ada kumpulan dan penterjemah bahasa isyarat. Akhirnya, saya dapat memahami kebenaran Bible dengan jelas dan menikmati program konvensyen!
MENGAJARKAN KEBENARAN KEPADA ORANG LAIN
Ketika itu, Perang Dunia Kedua baru berakhir, dan semangat kebangsaan semakin membara. Selepas menghadiri konvensyen, saya ingin mempertahankan kepercayaan saya di sekolah. Maka saya tidak lagi menabik bendera atau menyanyi lagu kebangsaan dalam bahasa isyarat. Saya juga berhenti menyertai perayaan atau pergi ke gereja. Akibatnya, kakitangan sekolah mencuba menakutkan dan menipu saya supaya saya mengubah fikiran. Semua itu menjadi buah mulut di sekolah, tetapi hal itu juga memberi saya peluang untuk memberikan kesaksian. Hasilnya, Larry Androsoff, Norman Dittrick, dan Emil Schneider, rakan sekolah saya, telah menerima kebenaran dan menyembah Yehuwa sampai hari ini.
Saya selalu cuba menginjil kepada orang pekak. Misalnya, saya menginjil kepada Eddie Tager, seorang pemuda dari sebuah persatuan orang pekak di Montreal. Dia berkhidmat dalam sidang bahasa isyarat di Laval, Quebec, sehingga dia meninggal pada tahun lepas. Saya juga menginjil kepada Juan Ardanez yang rajin mengkaji Alkitab seperti orang Berea pada abad pertama. (Kis. 17:10, 11) Dia menerima kebenaran dan berkhidmat sebagai penatua di Ottawa, Ontario, sehingga dia meninggal.
Pada tahun 1950, saya berpindah ke Vancouver. Saya suka menginjil kepada orang pekak, tetapi saya tidak akan melupakan pengalaman semasa saya menginjil kepada Chris Spicer, seorang wanita yang dapat mendengar. Dia ingin melanggan majalah kita dan menjemput saya untuk berjumpa dengan suaminya Gary. Di rumah mereka, kami telah berbual panjang dengan menulis pada kertas. Selepas itu, saya tidak jumpa mereka lagi. Beberapa tahun kemudian, semasa konvensyen di Toronto, Ontario, mereka nampak saya. Pada hari itu, Gary telah dibaptis. Pengalaman itu mengajar saya betapa pentingnya untuk terus menginjil kerana kita tidak tahu bila atau di mana benih kebenaran akan bercambah.
Setelah saya berpindah balik ke Saskatoon, seorang ibu meminta saya untuk belajar Bible dengan anak perempuan kembarnya yang pekak, iaitu Jean dan Joan Rothenberger. Mereka murid di sekolah saya dahulu, dan mereka juga memberitahu pelajar lain tentang Bible. Hasilnya, lima orang daripada kelas mereka menjadi Saksi. Salah seorang daripada mereka ialah Eunice Colin. Kali pertama saya jumpa Eunice di sekolah adalah semasa saya masih di kelas menengah tinggi. Pada masa itu, dia memberi saya gula-gula dan ingin menjadi kawan saya. Dia bukan sahaja menjadi kawan saya, tetapi menjadi isteri saya pada kemudian hari.
Semasa ibu Eunice dapat tahu dia sedang belajar Bible, dia meminta pengetua untuk menghalangnya. Pengetua itu bahkan merampas bahan bacaan Biblenya. Tetapi Eunice bertekad untuk mengutamakan Yehuwa. Semasa dia ingin dibaptis, ibu bapanya berkata, “Jika kamu menjadi Saksi, kamu harus keluar dari rumah ini!” Maka Eunice meninggalkan rumahnya pada umur 17 tahun dan tinggal bersama sebuah keluarga Saksi. Dia terus belajar Bible dan kemudiannya dibaptis. Pada tahun 1960, kami berkahwin tetapi ibu bapa Eunice tidak menghadiri majlis perkahwinan kami. Namun selepas beberapa tahun, mereka mula menghormati kami kerana kepercayaan kami dan cara kami membesarkan anak.
YEHUWA SELALU MENJAGA SAYA
Kami telah membesarkan tujuh orang anak lelaki. Mereka dapat mendengar tetapi kami mengajar mereka bahasa isyarat supaya dapat berkomunikasi dan mengajar mereka kebenaran. Saudara saudari banyak membantu. Contohnya, seorang rakan seiman menulis nota untuk memberitahu kami bahawa salah seorang anak kami menggunakan bahasa kesat di Dewan Perjumpaan. Jadi kami dapat menegurnya di situ juga. Empat orang anak kami, iaitu James, Jerry, Nicholas, dan Steven, kini berkhidmat sebagai penatua dan menyembah Yehuwa bersama isteri dan keluarga mereka. Nicholas dan isterinya Deborah membantu kerja penterjemahan bahasa isyarat di Bethel Britain. Steven dan isterinya Shannan pula membantu pasukan penterjemahan bahasa isyarat di Bethel Amerika Syarikat.
Anak-anak saya James, Jerry, dan Steven bersama isteri mereka, menyokong kerja penyebaran dalam bahasa isyarat
Sebulan sebelum ulang tahun perkahwinan kami yang ke-40, Eunice telah meninggal kerana penyakit kanser. Dia cukup tabah semasa melawan penyakitnya itu kerana beriman terhadap harapan pembangkitan. Saya menantikan masa untuk bertemu dengannya lagi.
Pada Februari 2012, saya terjatuh dan tulang pinggul saya patah. Oleh sebab saya memerlukan bantuan, saya tinggal bersama salah seorang anak lelaki saya dan isterinya. Kami kini menyertai Sidang Bahasa Isyarat Calgary, dan saya berkhidmat sebagai penatua di situ. Sebenarnya, inilah kali pertama saya menyertai sidang bahasa isyarat. Sejak tahun 1946, saya hanya mengikut sidang bahasa Inggeris, bagaimanakah saya tetap kuat secara rohani? Yehuwa memang menepati janji-Nya untuk menjaga anak yatim. (Mzm. 68:6) Saya bersyukur kepada saudara saudari yang telah berusaha menulis nota, belajar bahasa isyarat, dan menterjemahkan program rohani, untuk membantu saya.
Saya pernah berasa kecewa dan ingin berputus asa kerana tidak mengerti apa yang diajarkan dan berasa bahawa orang lain tidak memahami saya. Namun, saya ingat akan kata-kata Petrus kepada Yesus, “Tuan, kepada siapa lagi harus kami pergi? Kata-kata Tuan membawa kehidupan kekal.” (Yoh. 6:66-68) Seperti ramai saudara saudari pekak yang sezaman dengan saya, saya telah belajar untuk menantikan Yehuwa dan organisasi-Nya. Hasilnya, saya meraih banyak manfaat kerana kini terdapat makanan rohani yang berlimpah dalam bahasa saya. Saya juga menikmati pergaulan semasa perjumpaan dan konvensyen dalam Bahasa Isyarat Amerika. Sesungguhnya, hidup saya amat bahagia dan bermakna kerana berkhidmat kepada Yehuwa, Tuhan kita yang Maha Agung.
MENARA PENGAWAL—EDISI PEMBELAJARAN