Pertanyaan Pembaca
Pertanyaan Pembaca
Memandangkan Bible mengandungi perintah tentang penggunaan darah, apakah pandangan Saksi-Saksi Yehuwa tentang rawatan yang melibatkan penggunaan darah sendiri?
Keputusan kami tidak berdasarkan pilihan peribadi atau pandangan doktor semata-mata. Sebaliknya, kami masing-masing perlu mempertimbangkan prinsip Bible dan mengambil kira pandangan Tuhan Yehuwa. Keputusan ini melibatkan hubungan seseorang dengan Yehuwa.
Yehuwa memerintahkan manusia agar tidak makan atau minum darah. (Kejadian 9:3, 4) Dalam Hukum-Nya kepada orang Israel, Tuhan menyatakan bagaimana darah harus dikendalikan. Dia berfirman, “Nyawa setiap makhluk hidup terkandung dalam darahnya. Aku sudah menentukan bahawa darah harus dicurahkan di atas mazbah bagi memohon pengampunan dosa untuk diri kamu sendiri.” Mengenai binatang yang dibunuh untuk dijadikan makanan, Tuhan kata, “Dia mesti mencurahkan darah binatang tersebut lalu menutupi darah itu dengan tanah.” a (Imamat 17:11, 13) Perintah ini diulangi berkali-kali. (Ulangan 12:16, 24; 15:23) Buku Soncino Chumash yang mengulas tentang orang Yahudi kata, “Darah tidak boleh disimpan atau dimakan. Sebaliknya, darah harus dicurahkan ke tanah.” Maka, orang Israel tidak akan menyimpan atau menggunakan darah makhluk lain kerana nyawa makhluk tersebut adalah milik Tuhan.
Walaupun Hukum Musa tidak lagi berkuat kuasa selepas kematian Mesias, pandangan Tuhan tidak berubah. Di bawah bimbingan kuasa suci Tuhan, para rasul mengarahkan orang Kristian untuk “menjauhi darah.” Perintah itu sama penting dengan perintah untuk menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral atau menyembah berhala. (Kisah 15:28, 29; 21:25) Pada abad ke-20, pendermaan dan transfusi darah menjadi sesuatu yang biasa. Tetapi, Saksi-Saksi Yehuwa tahu kaedah perubatan ini bercanggah dengan ajaran Tuhan dalam Bible.
Kadangkala, doktor mencadangkan pesakit untuk melakukan pendermaan autologous (pendermaan darah sendiri) beberapa minggu sebelum pembedahan agar dapat digunakan semasa pembedahannya jika perlu. Namun, hal ini bercanggah dengan apa yang dinyatakan di buku Imamat dan Ulangan. Darah harus dicurahkan ke tanah untuk menunjukkan bahawa nyawa itu seolah-olah dikembalikan kepada Tuhan. Saksi-Saksi Yehuwa memahami prinsip ini dan bertekad untuk “menjauhi darah.” Itulah sebabnya kami tidak menderma, menyimpan, atau melakukan transfusi darah kerana hal itu bercanggah dengan perintah Tuhan.
Selain prosedur ini, terdapat prosedur lain yang melibatkan penggunaan darah sendiri. Prosedur-prosedur tersebut mungkin tidak begitu jelas melanggar prinsip Tuhan. Contohnya, darah mungkin diambil untuk ujian atau saringan, dan sampel darah itu kemudian dibuang. Sesetengah prosedur lain pula lebih rumit.
Contohnya, dalam sesetengah pembedahan, proses pencairan darah atau hemodilusi digunakan. Sebahagian daripada darah pesakit disalurkan keluar dari tubuhnya lalu darah dalam tubuh pesakit dicairkan, dan akhirnya darah yang disalurkan keluar dikembalikan ke dalam tubuh. Semua ini berlaku dalam satu peredaran yang berterusan. Melalui proses ini, kadar darah pesakit dapat dikekalkan pada tahap yang hampir normal. Terdapat kaedah lain, iaitu penggunaan mesin penyelamatan sel. Apabila pendarahan berlaku, darah dikumpulkan daripada luka, ditapis, dan dikembalikan kepada pesakit. Terdapat satu lagi proses lain di mana darah dialirkan ke sebuah mesin yang mengambil alih fungsi organ (contohnya jantung, paru-paru, atau buah pinggang) buat sementara waktu. Kemudian darah disalurkan kembali kepada pesakit. Dalam satu lagi prosedur, darah disalurkan ke dalam mesin untuk memisahkan unsur yang berbahaya atau yang rosak. Kaedah ini juga boleh digunakan untuk mengasingkan sesetengah komponen darah untuk digunakan pada bahagian tubuh yang lain. Sesetengah prosedur juga dilakukan untuk menandakan darah atau untuk mencampurkan darah dengan ubatan tertentu, lalu dikembalikan kepada tubuh pesakit.
Semua prosedur ini termasuk perinciannya mungkin berbeza dari tempat ke tempat dan prosedur baharu akan diperkenalkan. Maka, setiap orang Kristian harus memutuskan sendiri bagaimana darahnya harus dikendalikan dalam pembedahan, ujian kesihatan, atau rawatan lain. Oleh sebab kaedah yang digunakan oleh setiap doktor berbeza-beza, seorang Kristian harus menanya doktor atau ahli perubatan awal-awal lagi tentang prosedur yang terlibat. Barulah dia dapat membuat keputusan yang tidak mengganggu hati nuraninya. (Lihat kotak.)
Setiap orang Kristian harus ingat pembaktiannya kepada Tuhan dan tanggungjawabnya untuk ‘mengasihi Tuhan dengan segenap hati, jiwa, kekuatan, dan akal.’ (Lukas 10:27) Saksi-Saksi Yehuwa sangat mementingkan hubungan dengan Tuhan dan menghargai nilai darah Yesus yang dikorbankan demi manusia. Bible kata, “Melalui [Yesus], kita ditebus dan dibebaskan. Ya, melalui darahnya, dosa kita diampunkan.”—Efesus 1:7.
[Nota kaki]
a Profesor Frank H. Gorman menulis, “Perbuatan mencurahkan darah menunjukkan hormat kepada nyawa binatang itu dan hormat kepada Tuhan kerana menciptakan dan memelihara nyawa binatang itu.”
[Kotak/Gambar pada muka surat 31]
SOALAN UNTUK DITANYAKAN
Jika darah saya disalurkan keluar dari badan saya, dan peredaran darah saya mungkin terganggu untuk suatu jangka masa, adakah hati nurani saya membenarkan saya untuk menganggap bahawa darah ini masih sebahagian daripada tubuh saya, dan dengan demikian tidak perlu ‘dicurahkan ke tanah’?
Adakah hati nurani saya yang dilatih oleh Bible terganggu jika semasa prosedur perubatan, sebahagian daripada darah saya dikeluarkan, diubah, dan dikembalikan ke dalam badan saya?
MENARA PENGAWAL—EDISI PEMBELAJARAN