Bible Mengubah Hidup

Bible Mengubah Hidup

Bible Mengubah Hidup

MENGAPAKAH seorang lelaki yang antisosial berubah menjadi seorang yang pengasih dan suka membantu orang lain? Apakah yang mendorong seorang lelaki di Mexico untuk meninggalkan gaya hidup yang tidak bermoral? Mengapakah seorang pelumba basikal yang terkenal meninggalkan dunia sukan untuk berkhidmat kepada Tuhan? Bacalah pengalaman hidup mereka.

“Saya Biadab, Sombong, dan Ganas.”​—DENNIS O’BEIRNE

TAHUN LAHIR: 1958

NEGARA ASAL: ENGLAND

LATAR BELAKANG: PEMINAT PUNK ROCK DAN ANTISOSIAL

KISAH SILAM SAYA: Saya dibesarkan dalam agama Katolik Ireland. Keluarga sebelah bapa saya ialah orang Ireland. Saya biasanya pergi gereja seorang diri walaupun saya sebenarnya tidak suka pergi. Tetapi, saya berminat terhadap hal-hal rohani. Saya sering mengucapkan Doa Bapa Kami dan berfikir secara mendalam tentang doa itu. Saya bahkan cuba memahami setiap ungkapan dalam doa itu.

Semasa saya remaja, saya terlibat dalam gerakan Rastafarian dan berminat terhadap hal politik, contohnya Liga Anti-Nazi. Saya juga menjadi orang yang suka memberontak. Sikap itu ialah kebudayaan punk rock. Saya menghisap dadah hampir setiap hari, terutamanya ganja. Saya tidak peduli tentang orang lain, selalu minum berlebihan, dan tidak menghargai nyawa sendiri. Saya juga bersikap antisosial, jarang bercakap kepada orang lain, dan tidak suka foto saya diambil. Memang, saya biadab, sombong, dan ganas. Saya hanya baik dan murah hati kepada orang yang rapat dengan saya.

Apabila saya berumur sekitar 20 tahun, seorang pengedar dadah yang saya kenal mula membaca Bible semasa di penjara. Kami berbual panjang lebar tentang agama, gereja, dan pengaruh Syaitan. Selepas itu, saya pun membeli Bible dan mengkajinya sendiri. Saya dan kawan saya akan baca beberapa bahagian Bible dan bincang apa yang kami pelajari. Hal ini berlanjutan selama berbulan-bulan.

Daripada kajian kami, kami mendapati Bible mengajar hal ini: Kita sedang hidup pada hari-hari terakhir, orang Kristian harus menginjil tentang Kerajaan Tuhan, mereka tidak patut terlibat dalam dunia ini serta hal politik, dan Bible mempunyai piawaian moral yang terbaik. Kami yakin Bible mengajarkan kebenaran, maka agama yang benar pun pasti wujud. Tapi macam mana kami tahu agama mana yang betul? Kami fikir tentang gereja-gereja besar yang mempunyai banyak upacara dan sering terlibat dalam politik. Kami tahu itu jauh berbeza daripada ajaran Yesus, jadi kami menyimpulkan bahawa mereka bukanlah agama yang benar. Maka, kami mula menyelidiki agama-agama yang lebih kecil.

Kami akan berjumpa dengan penganut agama-agama itu dan tanya mereka banyak soalan. Kami mahu lihat sama ada jawapan mereka selaras dengan ajaran Bible atau tidak. Selepas setiap pertemuan, saya akan berdoa kepada Tuhan dan berkata, “Jika mereka mewakili agama yang benar, bukalah hati saya supaya saya ingin berjumpa semula dengan mereka.” Selepas berbulan-bulan, saya belum menemui satu kumpulan pun yang dapat jawab soalan kami daripada Bible dan saya tiada keinginan untuk jumpa mereka lagi.

Akhirnya, kami berjumpa dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Seperti biasa, kami tanyakan soalan yang sama. Tapi mereka menjawab daripada Bible dan semuanya selaras dengan apa yang Bible ajarkan. Jadi kami tanya mereka soalan tentang topik yang belum kami kaji dalam Bible. Contohnya, pandangan Tuhan terhadap merokok dan mengambil dadah. Sekali lagi, mereka dapat menunjukkan jawapan daripada Bible. Akhirnya kami setuju untuk pergi ke Dewan Perjumpaan.

Oleh sebab saya antisosial, hal itu susah bagi saya. Walaupun orang di sana bersikap ramah dan berpakaian sopan, saya tidak suka mereka menyapa saya. Saya meragui keikhlasan mereka dan tidak mahu menghadiri perjumpaan lagi. Namun, saya terus berdoa kepada Tuhan agar memberi saya keinginan untuk berjumpa dengan para Saksi jika mereka benar-benar mewakili-Nya. Yang peliknya, saya tiba-tiba tergerak untuk belajar Bible dengan mereka.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA: Saya tahu saya tidak patut menyalahgunakan dadah. Jadi saya terus hentikan tabiat itu. Tetapi biarpun saya cuba henti merokok, saya asyik gagal. Hal itu sangat susah bagi saya. Apabila saya dengar pengalaman orang lain yang membuang rokok mereka dan berjaya berhenti, saya berdoa kepada Yehuwa dan memohon bantuan-Nya. Saya sangat gembira kerana saya akhirnya berjaya mengatasi tabiat buruk itu. Saya belajar betapa pentingnya untuk berdoa kepada Yehuwa dengan ikhlas dan spesifik.

Satu lagi hal yang perlu saya ubah ialah pakaian dan dandanan saya. Kali pertama saya pergi perjumpaan, gaya rambut saya tegak seperti duri landak dan mempunyai highlight berwarna biru. Selepas itu, saya mewarnakannya oren terang. Saya pakai seluar jean dan jaket yang ada slogan. Walaupun para Saksi cuba membantu saya dengan sabar, saya rasa penampilan saya tiada masalah. Akhirnya, ayat di 1 Yohanes 2:15-17 telah menyentuh hati saya. Ayat itu kata, “Janganlah mengasihi dunia ini atau perkara-perkara di dalam dunia ini. Jika seseorang mengasihi dunia, kasih terhadap Bapa tidak ada dalam dirinya.” Saya sedar gaya dan penampilan saya menunjukkan saya mengasihi dunia. Maka, jika saya mahu menunjukkan kasih kepada Tuhan, saya harus berubah.

Secara beransur-ansur, saya belajar pentingnya untuk menghadiri perjumpaan. Ibrani 10:24, 25 menunjukkan bahawa Tuhanlah yang mahu saya menghadiri perjumpaan, dan bukannya para Saksi yang menetapkan peraturan ini. Selepas saya mula menghadiri semua perjumpaan dan mengenali saudara saudari, saya membuat keputusan untuk membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA: Saya sangat tersentuh semasa mengetahui bahawa Yehuwa mahu kita mempunyai hubungan yang akrab dengan-Nya. Belas kasihan dan kasih-Nya mendorong saya untuk meniru teladan-Nya dan Anak-Nya. (1 Petrus 2:21) Saya juga belajar bahawa memupuk sifat Kristian tidak bermaksud bahawa semua orang harus ada keperibadian yang sama. Kita masing-masing unik dan mempunyai perwatakan sendiri. Saya masih perlu berusaha memupuk kasih dan bersikap baik hati, terutamanya dalam cara saya melayani isteri dan anak saya. Saya juga sangat mengambil berat terhadap saudara saudari. Dengan mengikut jejak Yesus, saya belajar untuk menunjukkan kasih kepada orang lain dan memiliki harga diri yang lebih tinggi.

“Mereka Tidak Memandang Rendah Saya.”​—GUADALUPE VILLARREAL

TAHUN LAHIR: 1964

NEGARA ASAL: MEXICO

LATAR BELAKANG: GAYA HIDUP YANG TIDAK BERMORAL

KISAH SILAM SAYA: Saya dibesarkan bersama enam orang adik-beradik di Hermosillo, tempat orang miskin di Sonora, Mexico. Bapa saya meninggal semasa saya masih kecil dan ibu saya terpaksa bekerja untuk menjaga keperluan kami. Biasanya saya berkaki ayam kerana kami tidak ada duit untuk membeli kasut. Walaupun masih muda, saya harus bekerja untuk membantu menampung perbelanjaan keluarga. Seperti banyak keluarga lain, kami tinggal berhimpit-himpit dalam sebuah rumah yang kecil.

Oleh sebab ibu tidak ada di rumah sepanjang hari, dia tidak dapat melindungi kami. Semasa saya berumur 6 tahun, seorang budak lelaki yang berumur 15 tahun mendera saya secara seksual. Hal ini berlaku untuk masa yang sangat lama. Akibatnya, saya menjadi sangat keliru dalam soal seks. Biarpun saya lelaki, saya fikir perasaan tertarik kepada lelaki lain adalah normal. Semasa saya mencari pastor atau doktor untuk mendapatkan bantuan, mereka meyakinkan saya perasaan saya normal dan itu bukan suatu masalah.

Apabila berumur 14 tahun, saya membuat keputusan untuk hidup secara terbuka sebagai seorang homoseksual. Itulah gaya hidup saya selama 11 tahun berikutnya. Sepanjang masa itu, saya tinggal bersama beberapa lelaki yang berbeza. Saya mengambil kursus penggayaan rambut dan mengurus sebuah pusat kecantikan. Tetapi hidup saya tidak bahagia dan saya sering dikhianati. Saya rasa cara hidup saya salah dan mula tertanya-tanya jika ada orang yang betul-betul baik di dunia ini.

Saya teringat kakak saya yang telah belajar Bible bersama Saksi-Saksi Yehuwa dan akhirnya dibaptis. Dia sering memberitahu saya tentang apa yang dipelajarinya tetapi saya tidak betul-betul pasang telinga. Biarpun begitu, saya tahu dia dan suaminya saling mengasihi dan menghormati, serta melayan satu sama lain dengan baik. Saya kagum kerana mereka sangat bahagia. Tidak lama kemudian, saya pun belajar Bible dengan para Saksi. Tetapi pada mulanya, saya ikut saja dan tidak begitu berminat.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA: Para Saksi menjemput saya menghadiri perjumpaan mereka dan saya pun pergi. Pengalaman itu telah mengubah hidup saya. Biasanya orang suka mengejek saya tetapi para Saksi sangat ramah dan melayan saya dengan sopan. Mereka tidak memandang rendah terhadap saya. Ini buat saya sangat tersentuh.

Apabila menghadiri perhimpunan Saksi-Saksi Yehuwa yang besar, saya rasa lebih kagum lagi. Mereka semua seperti kakak saya yang ikhlas dan baik hati. Ini buat saya terfikir sama ada merekalah kumpulan orang yang saya cari selama ini. Mereka pengasih, bersatu padu, dan selalu menggunakan Bible. Mereka membiarkan prinsip Bible membimbing cara hidup mereka. Saya sedar saya perlu berubah jika saya mahu menjadi seperti mereka.

Selama ini, saya hidup seperti seorang wanita. Jadi sekarang, saya harus ubah cara percakapan, pemakaian, dandanan, dan pergaulan saya. Kawan-kawan lama saya mengejek dan menghina saya. Mereka kata, “Apa masalahnya? Kenapa kamu mahu berubah? Tak payahlah kamu belajar Bible. Hidup kamu sudah cukup sempurna.” Walaupun saya berusaha menyelaraskan hidup saya, hal yang paling susah adalah untuk meninggalkan gaya hidup saya yang tidak bermoral.

Namun kata-kata di 1 Korintus 6:9-11 meyakinkan saya bahawa saya dapat berubah. Ayat itu kata, ‘Tidakkah kamu tahu bahawa orang yang berbuat jahat tidak akan mewarisi Kerajaan Tuhan? Janganlah menipu diri sendiri. Orang yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral, orang yang menyembah berhala, orang yang berzina, lelaki yang rela ditiduri lelaki lain, dan lelaki yang meniduri lelaki, tidak akan mewarisi Kerajaan Tuhan. Demikianlah cara hidup sesetengah orang antara kamu dahulu. Namun, kamu sekarang sudah dibersihkan.’ Daripada ayat ini, saya belajar jika Yehuwa dapat bantu orang pada masa itu untuk berubah, sudah pasti Dia dapat membantu saya juga. Memang saya perlu bergelut selama bertahun-tahun, tapi bimbingan dan kasih para Saksi telah banyak membantu saya.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA: Kini, saya ada hidup yang baik dan gembira. Saya mempunyai seorang isteri dan seorang anak lelaki. Kami sekeluarga berusaha hidup menurut prinsip Bible. Setelah meninggalkan cara hidup yang lama, saya dapat menikmati banyak berkat rohani. Saya berkhidmat sebagai penatua di sidang dan dapat membantu orang lain untuk belajar kebenaran. Apabila ibu saya nampak perubahan yang saya buat, dia juga tergerak untuk belajar Bible dan kemudiannya dibaptis. Adik perempuan saya yang dulu juga hidup tidak bermoral kini ialah seorang Saksi.

Orang yang kenal saya sejak dulu setuju bahawa hidup saya sekarang jauh lebih baik. Saya dapat berubah bukan kerana nasihat pakar tetapi kerana bimbingan daripada Yehuwa. Dia memperhatikan saya, menunjukkan kasih, dan bersabar dengan saya. Saya berbesar hati kerana dapat mengenali Tuhan yang baik, bijak, dan pengasih. Dialah yang membantu saya mengubah hidup saya.

“Saya Masih Rasa Sunyi, Hampa, dan tidak Puas.”—KAZUHIRO KUNIMOCHI

TAHUN LAHIR: 1951

NEGARA ASAL: JEPUN

LATAR BELAKANG: SUKA BERSAING DALAM PERTANDINGAN LUMBA BASIKAL

KISAH SILAM SAYA: Saya membesar di Shizuoka, Jepun. Keluarga saya mempunyai lapan orang dan kami tinggal di sebuah rumah yang kecil. Ayah ada kedai basikal. Sejak kecil, ayah membawa saya ke pertandingan lumba basikal, jadi saya sangat minat sukan itu. Ayah ingin saya menjadi pelumba basikal yang profesional. Maka, dia mula melatih saya. Semasa di sekolah menengah, saya menyertai pertandingan peringkat kebangsaan dan menjadi juara tiga tahun berturut-turut. Saya mendapat tawaran universiti tapi saya memilih untuk masuk sekolah khas untuk dilatih sebagai pelumba. Semasa berumur 19 tahun, saya menjadi pelumba profesional.

Cita-cita saya adalah untuk menjadi pelumba basikal yang paling hebat di Jepun. Saya mahu dapat banyak duit supaya keluarga saya boleh hidup selesa. Jadi saya berlatih dengan bersungguh-sungguh. Setiap kali saya hadapi cabaran dalam perlumbaan atau latihan, saya akan ingatkan diri bahawa saya ditakdirkan untuk menjadi pelumba dan saya tidak boleh putus asa. Akhirnya, usaha saya membuahkan hasil. Pada tahun pertama, saya menjadi juara untuk kategori pelumba baharu. Pada tahun kedua pula, saya layak untuk menyertai perlumbaan yang menentukan siapa pelumba nombor satu di Jepun. Saya mendapat tempat kedua dalam pertandingan itu sebanyak enam kali.

Oleh sebab saya pernah menang banyak pertandingan, saya mula digelar kaki besi Tokai (nama tempat di Jepun). Saya sangat suka bertanding dan sering digeruni kerana saya pesaing yang kuat. Saya menjadi orang kaya dan dapat beli apa saja yang saya suka. Saya bahkan dapat beli rumah dengan bilik gim yang dilengkapi mesin-mesin yang terbaik, dan kereta import yang hampir semahal rumah saya. Saya juga buat pelaburan dalam hartanah dan saham.

Walaupun saya ada semua ini, saya masih rasa sunyi, hampa, dan tidak puas. Pada masa itu, saya sudah beristeri dan mempunyai tiga orang anak. Sikap saya yang panas baran dan tidak sabar buat mereka sangat takut. Mereka selalu lihat raut wajah saya untuk tengok sama ada angin saya bagus atau tidak.

Selepas beberapa waktu, isteri saya mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Dia kata dia mahu menghadiri perjumpaan para Saksi, jadi saya mencadangkan kami sekeluarga pergi bersama. Saya masih ingat kali pertama seorang penatua datang rumah saya dan belajar Bible dengan saya. Apa yang saya belajar sangat menyentuh hati saya.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA: Kata-kata di Efesus 5:5 telah memberi kesan yang dalam terhadap saya. Ayat itu kata, “Orang yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral, orang yang melakukan perkara-perkara yang najis, atau orang yang tamak, iaitu orang yang menyembah berhala, tidak akan mewarisi apa-apa dalam Kerajaan Kristus dan Tuhan.” Saya sedar bahawa pertandingan lumba basikal juga ada kaitan dengan perjudian dan menggalakkan sikap yang tamak. Jadi hati nurani saya mula terganggu. Saya tahu saya perlu berhenti berlumba jika saya mahu menyenangkan hati Yehuwa. Tapi saya rasa sangat susah untuk menarik diri.

Sekitar masa itu, saya mendapat pencapaian terbaik sepanjang karier saya. Saya rasa sangat puas dan ingin terus berlumba. Pada masa yang sama, pembelajaran Bible telah memberi saya hati dan fikiran yang tenang. Itu sangat berbeza dengan dunia perlumbaan yang penuh dengan semangat suka bersaing. Walaupun saya hanya menyertai tiga pertandingan sejak mula belajar Bible, saya masih belum bersedia untuk meninggalkan karier ini. Saya risau saya tidak dapat menyara keluarga saya jika saya berhenti. Tambahan lagi, tekanan daripada saudara-mara dan ayah saya buat saya sangat stres dan mendapat ulser dalam usus. Saya rasa terjepit di tengah-tengah. Maju pun salah, mundur pun susah.

Pada masa itu, pembelajaran Bible dan perjumpaan banyak membantu saya untuk bertabah. Secara beransur-ansur, iman saya menjadi lebih kuat. Saya memohon agar Yehuwa mendengar doa saya dan meyakinkan saya bahawa Dia sedang mendengar luahan hati saya. Saya juga berasa lega apabila isteri saya kata dia tidak perlukan rumah yang besar untuk hidup bahagia. Langkah demi langkah, saya mula membuat kemajuan.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA: Saya dapat lihat bahawa janji Yesus di Matius 6:33 memang benar. Dia kata, “Hendaklah kamu sentiasa mengutamakan Kerajaan Tuhan dan apa yang benar di mata-Nya, dan semua perkara itu akan diberikan kepada kamu.” Biarpun pendapatan saya kini hanya 1/30 berbanding dulu, kami sekeluarga tidak pernah kekurangan apa-apa sepanjang 20 tahun ini.

Selain itu, saya rasa sangat gembira dan puas kerana dapat beribadat dan menginjil bersama rakan seiman. Hidup saya amat bermakna dan masa berlalu dengan cepat sekali. Keluarga saya lebih bahagia sekarang, dan ketiga-tiga orang anak saya dan isteri mereka juga menyembah Yehuwa bersama-sama.