Bible Mengubah Hidup
MENGAPAKAH seorang lelaki yang dulu mempunyai beberapa isteri (mengamalkan poligami) dan yang menentang Saksi-Saksi Yehuwa berubah menjadi seorang Saksi? Apakah yang mendorong seorang pastor Gereja Pentakosta untuk mengubah kepercayaannya? Apakah yang membantu seorang wanita yang mempunyai zaman kanak-kanak yang teruk untuk menghampiri Tuhan dan tidak lagi membenci diri sendiri? Mengapakah seorang lelaki yang sangat menyukai muzik heavy-metal menjadi seorang penginjil? Bacalah kisah-kisah berikut untuk mengetahui jawapannya.
“Saya Menjadi Suami yang Lebih Baik.”—RIGOBERT HOUETO
TAHUN LAHIR: 1941
NEGARA ASAL: BENIN
LATAR BELAKANG: MENGAMALKAN POLIGAMI, MENENTANG SAKSI-SAKSI YEHUWA
KISAH SILAM SAYA:
Saya berasal dari Cotonou, sebuah bandar yang besar di Benin. Saya dibesarkan sebagai seorang Katolik tetapi saya jarang pergi ke gereja. Banyak Katolik di tempat tinggal saya ada lebih daripada seorang isteri kerana pada masa itu, amalan poligami tidak melanggar undang-undang. Saya sendiri mempunyai empat orang isteri.
Semasa revolusi politik tercetus pada tahun 1970-an, saya sangka negara saya akan menjadi lebih baik dan makmur. Maka saya menyokong revolusi itu dengan sepenuh hati dan mula terlibat dalam politik. Orang yang terlibat dalam revolusi itu tidak suka Saksi-Saksi Yehuwa kerana para Saksi berpendirian neutral dalam soal politik. Saya juga ikut menganiaya para Saksi. Apabila mubaligh Saksi dihalau dari negara kami pada tahun 1976, saya yakin mereka tidak akan kembali.
BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA:
Selepas revolusi berakhir pada 1990, mubaligh Saksi-Saksi Yehuwa telah kembali ke sini. Saya berfikir mungkin Tuhan ada bersama mereka. Sekitar waktu itu, saya mula bekerja di tempat lain. Salah seorang rakan sekerja saya ialah Saksi, dan dia mengongsi kepercayaannya dengan saya. Dia tunjuk kepada saya ayat-ayat Bible yang menggambarkan Yehuwa sebagai Tuhan yang adil dan pengasih. (Ulangan 32:4; 1 Yohanes 4:8) Saya sangat suka sifat-sifat itu dan ingin belajar lebih banyak tentang Yehuwa. Maka, saya pun terima tawaran untuk belajar Bible.
Tidak lama kemudian, saya mula menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Apa yang menyentuh hati saya ialah kasih yang mereka tunjukkan. Mereka tidak berat sebelah dan melayan semua orang dengan baik, tidak kira bangsa atau kedudukan. Saya sedar mereka ialah pengikut Yesus Kristus yang sejati.—Yohanes 13:35.
Saya tahu jika saya mahu menyembah Yehuwa, saya perlu meninggalkan Gereja Katolik. Tetapi hal itu susah kerana saya risau apa orang lain akan fikir tentang keputusan saya. Selepas suatu jangka masa yang lama, saya akhirnya menarik diri dari gereja dengan bantuan Yehuwa.
Terdapat satu lagi perubahan besar yang perlu saya buat. Menurut Bible, Tuhan hanya mahu kita mempunyai seorang pasangan hidup. (Kejadian 2:18-24; Matius 19:4-6) Dalam pandangan-Nya, hanya perkahwinan pertama saya yang sah. Jadi saya mendaftarkan perkahwinan dengan isteri yang pertama dan berpisah dengan tiga isteri saya yang lain. Saya telah mengaturkan agar keperluan mereka dijaga. Akhirnya, dua orang bekas isteri saya telah menjadi Saksi.
MANFAAT YANG SAYA TERIMA:
Walaupun isteri saya tetap mengikut ajaran Katolik, dia menghormati keputusan saya untuk menyembah Yehuwa. Ajaran Bible telah membantu saya menjadi suami yang lebih baik.
Dulu, saya sangka politik dapat membantu masyarakat di tempat saya. Tetapi sekarang, saya sedar bahawa hanya Kerajaan Tuhan yang dapat menyelesaikan semua masalah manusia. (Matius 6:9, 10) Saya bersyukur kerana Yehuwa mengajar saya cara untuk hidup bahagia.
“Tidak Senang bagi Saya untuk Buat Perubahan.”—ALEX LEMOS SILVA
TAHUN LAHIR: 1977
NEGARA ASAL: BRAZIL
LATAR BELAKANG: PASTOR GEREJA PENTAKOSTA
KISAH SILAM SAYA:
Saya dibesarkan di kawasan luar bandar di São Paulo. Kadar jenayah di kawasan ini sangat tinggi.
Saya jadi seorang pengedar dadah. Saya bersikap ganas dan hidup tidak bermoral. Saya sedar jika saya tidak berubah, saya akan meringkuk di penjara atau mati. Jadi, saya hentikan tabiat lama dan menyertai Gereja Pentakosta. Pada kemudian hari, saya telah menjadi seorang pastor.
Saya berusaha membantu orang melalui kerja menginjil di gereja. Saya bahkan menyiarkan khutbah melalui radio. Ramai orang mula kenal saya. Tapi, lama-kelamaan saya sedar bahawa ahli gereja tidak mengambil berat tentang satu sama lain dan tidak mementingkan Tuhan. Saya rasa matlamat utama gereja adalah untuk mendapat banyak duit. Akhirnya saya pun menarik diri dari gereja itu.
BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA:
Saya mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Dari awal lagi, saya boleh lihat mereka sangat berbeza daripada agama lain. Terdapat dua hal yang sangat menonjol: Pertama, Saksi-Saksi Yehuwa tidak sekadar bercakap tentang kasih. Mereka menunjukkan kasih kepada Tuhan dan orang lain. Kedua, mereka tidak melibatkan diri dalam peperangan atau politik. (Yesaya 2:4) Saya sedar bahawa mereka sedang berusaha mengikut jalan yang menuju kehidupan kekal. Saya yakin bahawa saya telah menemui agama yang benar.—Matius 7:13, 14.
Jika saya mahu menyenangkan hati Tuhan, saya perlu membuat perubahan. Saya perlu meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga dan memupuk sikap rendah hati. Memang tidak senang bagi saya untuk buat perubahan. Tetapi dengan bantuan Yehuwa saya telah berjaya. Isteri saya kagum dengan perubahan saya dan hal ini mendorongnya untuk membuat kemajuan rohani dengan cepat. Kami berdua ingin menjadi Saksi-Saksi Yehuwa dan kami dibaptis pada hari yang sama.
MANFAAT YANG SAYA TERIMA:
Saya dan isteri sangat gembira kerana dapat membantu tiga orang anak kami untuk menjadi sahabat Yehuwa. Sekarang, kami sekeluarga sangat bahagia. Saya sangat berterima kasih kerana Yehuwa mengajar saya kebenaran Bible dan membantu saya membuat perubahan dalam hidup saya.
“Saya Tidak Lagi Dibelenggu Rasa Bersalah dan Dapat Menikmati Kehidupan.”—VICTORIA TONG
TAHUN LAHIR: 1957
NEGARA ASAL: AUSTRALIA
LATAR BELAKANG: ZAMAN KANAK-KANAK YANG TERUK
KISAH SILAM SAYA:
Saya membesar di Newcastle, New South Wales. Saya mempunyai tujuh orang adik-beradik dan saya ialah anak sulung. Ibu bapa saya sangat ganas dan bapa saya juga seorang kaki botol. Ibu pula mendera saya secara fizikal dan suka menghina dan memaki saya. Dia selalu berkata bahawa saya jahat dan akan diseksa di neraka. Ini buat saya rasa sangat takut.
Saya sering tidak pergi sekolah akibat kesan dera pada tubuh saya. Semasa berumur 11 tahun, saya dipisahkan daripada ibu bapa dan ditempatkan di sebuah institusi kerajaan. Kemudian, saya dipindahkan ke sebuah konven. Semasa berumur 14 tahun, saya melarikan diri dari sana dan tinggal di jalanan dekat kawasan Kings Cross, Sydney.
Ketika itu, saya terjebak dengan gejala dadah, alkohol, pornografi, dan pelacuran. Pada suatu hari, sesuatu yang mengerikan berlaku. Semasa di rumah pemilik kelab malam, dua orang lelaki telah datang ke rumah. Saya disuruh tunggu di bilik, tetapi saya dapat mendengar perbualan mereka. Saya mendapat tahu bahawa pemilik kelab malam itu mahu menjual saya kepada dua lelaki itu. Mereka mahu menyeludup saya ke Jepun untuk bekerja di sebuah bar. Apabila saya mendengar hal itu, saya terus melompat dari balkoni dan melarikan diri.
Selepas itu, saya bertemu dengan seorang lelaki yang sedang melawat Sydney. Saya menjelaskan kepadanya apa yang berlaku dan harap dia akan memberi saya sedikit wang. Tapi, dia menjemput saya untuk pergi ke tempat tinggalnya untuk mandi dan makan. Setahun kemudian, kami telah berkahwin.
BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA:
Semasa saya belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa, saya sedar bahawa penderitaan kita disebabkan oleh Syaitan dan bukan Tuhan. Hal ini berbeza dengan apa yang saya belajar dahulu. Saya sangat marah dengan Syaitan, dan pada masa yang sama, saya rasa lega selepas mengetahui bahawa Tuhan tidak menghukum orang di neraka.
Saya kagum melihat bagaimana setiap aspek kehidupan Saksi-Saksi Yehuwa dibimbing oleh ajaran Bible. Saya juga tersentuh kerana mereka selalu menghormati saya dan melayan saya dengan baik walaupun saya ada sikap yang buruk.
Cabaran yang terbesar bagi saya ialah saya perlu bergelut dengan perasaan sendiri. Saya sangat membenci diri sendiri dan rasa tidak layak dikasihi. Walaupun saya mengasihi Yehuwa dan sudah lama dibaptis, saya masih rasa bahawa Dia tidak akan mengasihi orang seperti saya.
Titik perubahan dalam hidup saya berlaku kira-kira 15 tahun selepas saya dibaptis. Semasa ceramah disampaikan di Dewan Perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa, Yakobus 1:23, 24 telah dibincangkan. Ayat itu menyatakan bahawa Firman Tuhan adalah seperti cermin yang dapat membantu kita melihat diri daripada sudut pandangan Yehuwa. Saya mula sedar bahawa pandangan saya terhadap diri sendiri tidak betul dan adalah sangat berbeza daripada pandangan Yehuwa. Tetapi saya susah percaya bahawa Tuhan dapat mengasihi orang seperti saya.
Beberapa hari kemudian, saya membaca ayat yang telah mengubah pandangan saya. Di Yesaya 1:18, Yehuwa berkata, “Marilah kita selesaikan perkara ini. Walaupun dosa-dosa kamu merah marak, semuanya akan menjadi putih seperti salji.” Saya rasa Yehuwa seolah-olah sedang berkata kepada saya, “Mari kita selesaikan perkara ini Vicky. Aku tahu kamu pernah buat dosa, tetapi Aku tahu isi hatimu dan Aku mengasihimu.”
Malam itu saya tidak dapat tidur. Saya mengenang kembali bagaimana Yehuwa telah bersabar dengan saya selama ini dan menunjukkan kasih kepada saya dalam banyak cara. Dia bahkan sanggup mengorbankan Anak-Nya demi menebus dosa saya. Tetapi, oleh sebab saya selalu berfikir bahawa saya tidak layak menerima kasih-Nya, saya seperti sedang memberitahu-Nya, “Kasih-Mu tidak cukup besar dan korban tebusan Anak-Mu tidak dapat menebus dosa saya.” Selepas merenungkan nilai korban tebusan Yesus yang begitu tinggi, saya mula merasai kasih Yehuwa terhadap saya.
MANFAAT YANG SAYA TERIMA:
Sekarang, saya tidak lagi dibelenggu rasa bersalah dan dapat menikmati kehidupan. Perkahwinan saya menjadi lebih bahagia dan saya gembira kerana dapat menggunakan pengalaman sendiri untuk membantu orang lain. Secara beransur-ansur, saya rasa lebih rapat dengan Yehuwa.
“Tuhan Telah Mendengar Doa Saya.”—SERGEY BOTANKIN
TAHUN LAHIR: 1974
NEGARA ASAL: RUSIA
LATAR BELAKANG: PEMINAT MUZIK HEAVY-METAL
KISAH SILAM SAYA:
Saya lahir di Votkinsk, iaitu kampung halaman komposer terkenal yang bernama Pyotr Ilich Tchaikovsky. Keluarga kami miskin. Biarpun bapa saya ada sifat-sifat yang baik, dia seorang kaki botol. Hal itu menyebabkan keadaan di rumah selalu tegang.
Saya bukan pelajar yang pandai, dan itu buat saya kurang keyakinan diri. Lama-kelamaan, saya suka menyendiri dan tidak mempercayai orang lain. Saya sangat stres semasa pergi ke sekolah. Apabila saya perlu buat penyampaian di depan kelas, saya begitu gementar sehingga tidak dapat menjelaskan bahkan hal yang senang. Dalam kad laporan semasa di sekolah menengah, guru saya menulis, “Kosa kata terhad. Tidak pandai luahkan perasaan.” Kata-kata itu menghancurkan harga diri saya, dan saya fikir apa gunanya saya hidup.
Semasa remaja, saya mula minum alkohol. Itu buat saya rasa tenang, tetapi apabila saya minum terlalu banyak, saya rasa bersalah pula. Akibatnya, saya menjadi murung dan kadangkala mengurung diri di rumah selama berhari-hari. Saya rasa hidup saya tiada tujuan dan ingin membunuh diri.
Semasa berumur 20 tahun, saya mula minat terhadap muzik heavy-metal. Muzik ini menguatkan semangat saya dan saya mula bergaul dengan orang yang suka jenis muzik ini. Saya membiarkan rambut saya tumbuh panjang, menindik telinga, dan mengikut gaya pemakaian pemuzik yang saya minati. Secara beransur-ansur, saya menjadi ganas dan suka bertengkar dengan keluarga saya.
Saya fikir muzik ini akan buat saya gembira. Tetapi sebenarnya, sikap saya sedang berubah secara perlahan-lahan. Lagipun saya mendapat tahu bahawa idola saya melakukan hal-hal yang jahat dan buruk. Ini buat saya rasa sangat kecewa dan dikhianati.
Kali ini, saya betul-betul mahu bunuh diri. Tetapi apabila saya fikir tentang perasaan ibu saya, saya tidak sampai hati melakukannya. Ibu sangat mengasihi saya dan telah membuat banyak pengorbanan demi saya. Saya tidak mahu hidup, tetapi saya tidak sanggup mengambil nyawa sendiri. Pergelutan ini buat saya sangat terseksa.
Maka, saya cuba menyelami karya sastera Rusia untuk mengisi kekosongan dalam hidup saya. Salah sebuah cerita yang saya baca mengisahkan seorang wira yang berkhidmat di gereja. Tiba-tiba, saya rasa saya mahu berkhidmat kepada Tuhan dan membantu orang lain. Saya berdoa sepenuh hati dan meminta Tuhan untuk membantu saya mengetahui tujuan hidup. Itulah kali pertama saya berdoa dengan begitu bersungguh-sungguh. Selepas itu, saya rasa sangat tenang dan lega. Apa yang berlaku dua jam kemudian meyakinkan saya bahawa Tuhan telah mendengar doa saya. Ketika itu, seorang Saksi-Saksi Yehuwa mengetuk pintu rumah saya dan menawarkan pembelajaran Bible kepada saya. Sejak itu bermulalah lembaran baharu dalam kehidupan saya.
BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA:
Saya membuang segala benda yang berkaitan dengan muzik heavy-metal. Hal itu memang susah bagi saya. Muzik itu telah mempengaruhi saya untuk masa yang lama. Setiap kali saya melalui tempat yang memainkan muzik heavy-metal, saya teringat masa lampau saya. Saya tidak mahu kenangan buruk itu bercampur dengan hal-hal baik yang sedang saya pelajari. Maka saya sengaja menjauhi tempat-tempat sebegitu. Jika hal-hal lampau terlintas di fikiran saya, saya berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Tuhan. Doa membantu saya mendapat “kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia.”—Filipi 4:7.
Saya belajar bahawa orang Kristian wajib mengongsi kepercayaan mereka dengan orang lain. (Matius 28:19, 20) Tapi saya rasa saya tidak mungkin dapat melakukan hal itu. Pada masa yang sama, saya sedar bahawa ajaran Bible membawa ketenangan dan kebahagiaan kepada saya. Jadi saya mahu orang lain tahu tentang hal-hal baik ini. Saya berusaha mengatasi perasaan takut dan mula mengongsinya dengan orang lain. Hasilnya, keyakinan diri saya semakin bertambah dan iman saya juga menjadi semakin kuat.
MANFAAT YANG SAYA TERIMA:
Kini, saya menikmati perkahwinan yang bahagia. Saya rasa gembira kerana dapat membantu orang lain, termasuk ibu dan adik saya, untuk belajar kebenaran. Akhirnya, saya mempunyai tujuan hidup dan kepuasan sejati kerana saya dapat menyembah Tuhan dan membantu orang lain untuk mengenali-Nya.