BIBLE MENGUBAH HIDUP
Sekarang Saya Dapat Membantu Orang Lain
Diceritakan oleh Julio Corio
TAHUN LAHIR: 1981
NEGARA ASAL: GUATEMALA
LATAR BELAKANG: DITIMPA TRAGEDI SEMASA KECIL
MASA LALU SAYA:
Saya lahir di Acul, sebuah pekan terpencil di Guatemala. Keluarga saya merupakan keturunan Ixil, iaitu satu kumpulan etnik Maya. Saya telah mempelajari bahasa Sepanyol dan bahasa Ixil. Semasa kecil, perang saudara di Guatemala yang berlanjutan selama 36 tahun masih berlaku dan ramai orang Ixil terkorban.
Semasa berusia empat tahun, abang saya bermain dengan bom tangan. Bom itu meletup, dan akibatnya, abang saya terbunuh dan saya menjadi buta. Selepas itu, saya hidup di pusat kanak-kanak buta. Di situlah saya belajar Braille. Namun, kakitangan di situ melarang saya bercakap dengan kanak-kanak lain, dan rakan sekolah mengelakkan saya. Saya berasa sunyi dan tidak sabar untuk pulang ke rumah semasa cuti tahunan selama dua bulan. Ibu saya sentiasa baik hati dan pengasih. Sedihnya, ibu meninggal semasa saya berumur 10 tahun. Hati saya hancur berkecai kerana kehilangan ibu yang mengasihi saya.
Pada usia 11 tahun, saya pulang ke kampung dan tinggal bersama abang tiri dan keluarganya. Mereka menjaga keperluan jasmani saya, tetapi tiada orang yang dapat memenuhi keperluan emosi saya. Ada kalanya, saya berseru kepada Tuhan, “Mengapa ibu meninggal? Mengapa saya buta?” Orang berkata bahawa ini ialah kehendak Tuhan. Maka saya menyimpulkan bahawa Tuhan tidak adil dan tidak berhati perut. Saya ingin membunuh diri.
Oleh sebab saya buta, saya mudah menjadi mangsa secara fizikal atau emosi. Saya pernah dirogol beberapa kali semasa kecil. Tetapi saya tidak melaporkannya kerana berfikir bahawa orang tidak akan peduli. Orang lain jarang bercakap kepada saya, dan saya tidak berbual-bual dengan sesiapa. Saya berasa murung dan tidak mempercayai orang. Maka saya mengasingkan diri.
BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA:
Semasa berusia 13 tahun, sepasang suami isteri yang merupakan Saksi-Saksi Yehuwa berjumpa dengan saya semasa waktu rehat di sekolah. Seorang guru berasa kasihan terhadap saya, dan menjemput Saksi itu untuk melawat saya. Mereka bercakap tentang janji-janji Bible bahawa orang mati akan hidup semula dan orang buta akan dapat melihat. (Yesaya 35:5; Yohanes 5:28, 29) Saya suka mendengar semua itu, namun saya rasa sukar untuk bercakap kepada mereka, kerana saya tidak biasa bercakap. Meskipun saya menyisihkan diri, mereka sangat baik hati dan sabar. Mereka selalu melawat saya untuk mengajar Bible. Mereka jalan sejauh 10 km merentasi sebuah banjaran untuk datang ke pekan saya.
Abang tiri memberitahu saya bahawa pasangan itu selalu berpakaian kemas, tetapi mereka bukan orang kaya. Namun mereka selalu menunjukkan keprihatinan dan membawa hadiah kecil untuk saya. Hanya orang Kristian sejati akan menunjukkan sikap rela berkorban sedemikian.
Saya belajar Bible dengan menggunakan bahan bacaan Braille. Saya faham apa yang dipelajari, namun ada sesetengah perkara yang sukar diterima. Contohnya, saya tidak percaya bahawa Tuhan dan orang lain benar-benar mengambil berat tentang saya. Saya faham sebabnya Yehuwa mengizinkan kejahatan, tetapi saya tidak dapat membayangkan-Nya sebagai seorang Bapa yang pengasih. *
Namun, Bible beransur-ansur mengubah pandangan saya. Misalnya, saya belajar bahawa Tuhan benar-benar mengasihani orang yang menderita. Apabila umat-Nya ditindas, Tuhan berkata, “Aku telah melihat betapa kejamnya umat-Ku dianiaya . . . Aku tahu akan segala penderitaan mereka.” (Keluaran 3:7) Saya mula menghargai sifat-sifat baik Yehuwa. Oleh itu, saya membaktikan diri kepada Tuhan dan dibaptis pada tahun 1998.
Kira-kira setahun selepas dibaptis, saya menghadiri sebuah kursus untuk orang buta dekat bandar Escuintla. Seorang penatua dari sidang di situ mendapat tahu cabaran saya untuk menghadiri perjumpaan semasa saya di kampung. Untuk pergi ke sidang yang terdekat, saya harus merentasi sebuah banjaran dan perjalanan itu sangat susah. Maka penatua itu menghubungi sebuah keluarga Saksi di Escuintla yang sudi membantu. Mereka menjemput saya untuk tinggal bersama mereka dan membawa saya ke perjumpaan. Sehingga ke hari ini, mereka masih menjaga saya dan menganggap saya seperti ahli keluarga mereka.
Ramai ahli sidang yang lain juga menunjukkan kasih sejati kepada saya. Semua pengalaman itu meyakinkan saya bahawa Saksi-Saksi Yehuwa ialah orang Kristian sejati.—Yohanes 13:34, 35.
MANFAAT YANG DITERIMA:
Saya tidak lagi berasa bahawa saya tidak berguna. Kini hidup saya bermakna dan saya mempunyai harapan yang cerah. Sebagai Saksi-Saksi Yehuwa yang menjalankan kerja pendidikan Bible sepenuh masa, saya tidak lagi berfokus kepada kecacatan saya. Sebaliknya, saya berfokus kepada kerja mengajar orang tentang kebenaran Bible. Saya juga berpeluang berkhidmat sebagai penatua dan memberikan ceramah umum di sidang-sidang tempatan. Saya bahkan berpeluang untuk menyampaikan ceramah kepada ribuan orang semasa konvensyen serantau.
Pada tahun 2010, saya menyelesaikan latihan di Sekolah Latihan Pengorganisasian (kini dipanggil Sekolah Latihan Penginjil) yang diadakan di El Salvador. Sekolah ini membantu saya melaksanakan tugas di sidang dengan lebih baik. Memandangkan Tuhan Yehuwa dapat menggunakan sesiapa sahaja untuk melakukan kerja-Nya, latihan ini meyakinkan saya bahawa Dia benar-benar menghargai dan mengasihi saya.
Yesus berkata, “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.” (Kisah 20:35) Hari ini, saya benar-benar bahagia. Saya tidak pernah fikir bahawa saya dapat membantu orang lain, tetapi sekarang saya percaya saya dapat melakukannya.
^ per. 13 Untuk maklumat lanjut mengenai sebabnya Tuhan mengizinkan kejahatan, sila lihat bab 11 dalam buku Apakah yang Diajarkan Bible? yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.
Mungkin Anda Suka Juga
MENARA PENGAWAL
Bagi Saya, Tuhan Tidak Wujud
Bagaimanakah seorang yang dahulunya percaya tentang ateisme dan komunisme menghargai ajaran Bible?
MENARA PENGAWAL