TERUSLAH BERJAGA-JAGA!
Agama dan Perang di Ukraine—Apakah yang Bible Katakan?
Perhatikan beberapa pernyataan tentang kaitan antara ketua agama dengan perang di Ukraine:
“Ketua Gereja Ortodoks Rusia, Patriarch Kirill, berdiam diri tentang keganasan yang dilakukan oleh Rusia. . . . Propaganda yang disebarkan dalam gerejanya telah digunakan oleh Putin sebagai alasan untuk berperang dengan Ukraine.”—EUobserver, 7 Mac 2022.
“Patriarch Kirill . . . membela tindakan Rusia untuk menyerang Ukraine. Menurutnya, pertempuran ini ialah salah satu tindakan untuk melawan kejahatan dan dosa.”—AP News, 8 Mac 2022.
“Ketua Gereja Ortodoks Ukraine, Metropolitan Epiphanius I dari Kyiv, telah memberkati rakyatnya pada hari Isnin. Dia menggalakkan mereka untuk ‘bertempur melawan Rusia’ . . . [Dia] juga kata bahawa membunuh tentera Rusia bukanlah satu dosa.”—Jerusalem Post, 16 Mac 2022.
“Kami [Majlis Ukraine bagi Gereja dan Organisasi Agama (UCCRO)] menyokong Angkatan Tentera Ukraine dan semua orang yang berusaha mempertahankan negara kita. Kami mendoakan kesejahteraan mereka dan memberkati usaha mereka untuk melindungi Ukraine daripada ancaman musuh.”—Pernyataan UCCRO, a 24 Februari 2022.
Apa pendapat anda? Patutkah agama yang mengakui bahawa mereka ialah pengikut Yesus Kristus menggalakkan penganut mereka untuk berperang? Apakah yang dikatakan Bible?
Sejarah tentang penglibatan agama dalam perang
Sejarah menunjukkan bahawa organisasi agama menyetujui, membela, atau bahkan menyokong peperangan kerana mereka kononnya mahu mewujudkan kedamaian. Selama puluhan tahun, Saksi-Saksi Yehuwa telah mendedahkan perbuatan agama yang bermuka dua. Lihatlah beberapa contoh berikut yang terdapat dalam bahan bacaan kami. (Bahan ini ada dalam bahasa Indonesia).
Rencana “Perang Salib—‘Ilusi yang Tragis’” menunjukkan bahawa Gereja Roman Katolik bertanggungjawab atas pembunuhan beramai-ramai. Mereka melakukannya atas nama Tuhan dan Kristus.
Rencana “Gereja Katolik di Afrika” menjelaskan bagaimana agama gagal menghalang peperangan antara suku dan pembasmian kaum.
Rencana “Apakah Agama Dalangnya?,” “Peran Agama dalam Peperangan Manusia,” dan “Agama Berpihak” menyatakan bagaimana pemimpin gereja Katolik, Ortodoks, dan Protestan menyokong kedua-dua pihak yang berperang.
Patutkah agama Kristian menyokong peperangan?
Apa Yesus ajar: “Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.” (Matius 22:39) “Teruslah mengasihi musuhmu.”—Matius 5:44-47.
Fikirkan: Pengikut Yesus sepatutnya mematuhi perintahnya untuk mengasihi orang lain. Jadi, patutkah orang Kristian membunuh orang dalam peperangan? Untuk lihat jawapannya, sila baca rencana “Orang-Orang Kristen Sejati dan Perang” dan “Mungkinkah Mengasihi Musuh Kita?” dalam bahasa Indonesia.
Apa Yesus kata: “Kerajaanku bukan sebahagian daripada dunia ini. Jika Kerajaanku sebahagian daripada dunia ini, pengikut-pengikutku tentu berjuang supaya aku tidak diserahkan.” (Yohanes 18:36) “Orang yang menggunakan pedang akan dibinasakan oleh pedang.”—Matius 26:47-52.
Fikirkan: Semasa Yesus diancam, pengikutnya ingin melindunginya dengan menggunakan senjata. Tetapi Yesus melarang mereka berbuat demikian. Jika begitu, tidak kira apa alasannya, patutkah orang Kristian mengangkat senjata atau terlibat dalam perang? Sila baca rencana “Apakah Perang Sejalan dengan Kekristenan?” dalam bahasa Indonesia untuk lihat bagaimana orang Kristian pada zaman dulu mengikut ajaran dan teladan Yesus dengan setia.
Apakah yang akan berlaku kepada agama yang menyokong peperangan?
Bible ajar bahawa Tuhan menolak agama yang kononnya mewakili Yesus tetapi tidak mematuhi ajarannya.—Matius 7:21-23; Titus 1:16.
Buku Wahyu menunjukkan bahawa Tuhan menganggap agama sedemikian bertanggungjawab atas kematian “semua orang yang telah dibunuh di bumi.” (Wahyu 18:21, 24) Untuk tahu lebih lanjut, sila baca rencana “Apakah Itu Babilon Besar?”
Yesus kata bahawa semua agama yang ditolak oleh Tuhan akan dibinasakan kerana kejahatan mereka. Ini digambarkan seperti pokok yang buruk yang menghasilkan buah yang buruk. Akhirnya, pokok itu “ditebang lalu dibuang ke dalam api.” (Matius 7:15-20) Untuk mengetahui bagaimana hal ini akan berlaku, sila baca rencana “Akhir Agama Palsu Sudah Dekat!” dalam bahasa Indonesia.
Photo credits, left to right: Photo by Sefa Karacan/Anadolu Agency/Getty Images; Maxym Marusenko/NurPhoto via Getty Images
a UCCRO merangkumi 15 gereja yang mewakili aliran Ortodoks, Roman Katolik, Greek Katolik, Protestan, dan Evangelis, serta golongan Yahudi dan Muslim.
Mungkin Anda Suka Juga
TERUSLAH BERJAGA-JAGA!
Rusia Menyerang Ukraine—Adakah Nubuat Bible Sedang Menjadi Kenyataan?
Ketahui maksud di sebalik peristiwa ini.
ESSENTIAL BIBLE TEACHINGS
Apa itu Kerajaan Tuhan?
Semasa menginjil, Yesus mengajarkan Kerajaan Tuhan pada setiap kesempatan. Selama berabad-abad, pengikut Yesus berdoa tentang kedatangan Kerajaan Tuhan.
TERUSLAH BERJAGA-JAGA!