TERUSLAH BERJAGA-JAGA!

Dapatkah Bangsa-Bangsa Bekerjasama untuk Mengelakkan Malapetaka Iklim?—Apakah yang Bible Katakan?

Dapatkah Bangsa-Bangsa Bekerjasama untuk Mengelakkan Malapetaka Iklim?—Apakah yang Bible Katakan?

 Pada Ahad, 20 November 2022, Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) COP27 telah berakhir. Satu persetujuan telah dicapai untuk memberikan bantuan kewangan kepada negara-negara yang miskin agar dapat menangani bencana iklim. Namun, ramai orang berpendapat bahawa hal ini tidak dapat menyelesaikan masalah perubahan iklim.

  •    “Saya menyokong penubuhan tabung dana kerugian dan kerosakan,” kata António Guterres, setiausaha agung PBB, pada 19 November 2022. “Ternyata bantuan sedemikian tidak cukup . . . Planet kita masih berada dalam ‘bilik kecemasan.’”

  •    “Malapetaka iklim bakal menimpa dunia ini.”—Mary Robinson, bekas presiden Ireland dan bekas Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia, 20 November 2022.

 Generasi muda sangat risau tentang masa depan bumi. Dapatkah bangsa-bangsa bekerjasama dan menunaikan janji mereka untuk menangani masalah perubahan iklim? Apakah yang Bible katakan?

Dapatkah bangsa-bangsa bekerjasama dan berjaya dalam usaha mereka?

 Walaupun banyak usaha dicurahkan untuk menyelesaikan masalah iklim, Bible kata bahawa keupayaan kerajaan manusia adalah terhad. Bible menjelaskan dua sebab berikut:

  •    “Yang bengkok, tidak dapat diluruskan.”—Pengkhutbah 1:15.

     Maksud: Kerajaan manusia tidak dapat mencapai matlamat mereka dengan sepenuhnya kerana manusia tidak diciptakan untuk memerintah diri sendiri. (Yeremia 10:23) Meskipun bangsa-bangsa dapat bekerjasama, usaha terbaik mereka pun tidak dapat menyelesaikan masalah dunia.

  •    “Manusia akan mencintai diri sendiri, mencintai wang, . . . tidak mahu dibawa berbincang.”—2 Timotius 3:2, 3.

     Maksud: Bible sudah mengatakan bahawa manusia pada zaman ini akan mementingkan diri. Mereka enggan bekerjasama untuk kebaikan masyarakat umum.

Harapan yang sejati

 Masa depan bumi ini tidak bergantung pada janji-janji kerajaan manusia. Tuhan telah melantik Pemerintah yang paling baik, iaitu Yesus Kristus. Bible menyatakan:

  •    “Dia akan memikul tugas sebagai pemerintah. Dia akan dipanggil Penasihat Bijaksana, Tuhan yang Berkuasa, Bapa Kekal, dan Pemimpin Kedamaian.”—Yesaya 9:6.

 Yesus ialah Raja Kerajaan Tuhan. Kerajaan ini akan memerintah dari syurga. (Matius 6:10) Dia mempunyai kuasa, kebijaksanaan, dan keinginan untuk menjaga bumi dan penduduknya. (Mazmur 72:12, 16) Di bawah pemerintahannya, Kerajaan Tuhan akan “membinasakan orang yang merosakkan bumi” dan memulihkan bumi kita.—Wahyu 11:18; Yesaya 35:1, 7.

 Untuk tahu lebih lanjut tentang penyelesaian kekal bagi masalah iklim, bacalah rencana “Apakah yang Bible Katakan tentang Perubahan Iklim dan Masa Depan Kita?”