TERUSLAH BERJAGA-JAGA!

Adakah Perang Dunia Bakal Berlaku?—Apakah yang Bible Katakan?

Adakah Perang Dunia Bakal Berlaku?—Apakah yang Bible Katakan?

 Selama 30 tahun ini, banyak orang berpendapat bahawa hubungan antara negara-negara adalah stabil dan nampaknya menjadi semakin kukuh. Namun, beberapa peristiwa belakangan ini telah menimbulkan persoalan mengenai kestabilan itu.

  •   “Israel dan Hezbollah berperang di sempadan Lubnan. Orang ramai risau perang di Gaza akan merebak dan memberi kesan kepada negara-negara jiran.”—Reuters, 6 Januari 2024.

  •   “Kumpulan penentang dari Iran mula menyerang di beberapa kawasan. Selain itu, Iran sekali lagi menghasilkan senjata nuklear. Kini, Iran mendapat sokongan Rusia dan China. Semua kejadian ini merupakan ancaman baharu kepada negara-negara Barat.”—The New York Times, 7 Januari 2024.

  •   “Serangan daripada Rusia terus membawa kemusnahan yang teruk di Ukraine.”—UN News, 11 Januari 2024.

  •   “Kuasa ketenteraan dan keadaan ekonomi China yang semakin maju, semangat kebangsaan di Taiwan yang bertambah kuat, dan ketegangan antara Beijing dan Washington dapat menimbulkan situasi yang mencetuskan konflik.”—The Japan Times, 9 Januari 2024.

 Adakah Bible mengatakan apa-apa tentang ketegangan antara negara-negara hari ini? Adakah hal ini akan mencetus perang dunia?

Bible telah menyebut tentang peristiwa hari ini

 Bible tidak menyatakan secara spesifik tentang mana-mana perang hari ini. Tetapi, Bible telah menyebut bahawa banyak perang akan berlaku pada zaman ini dan “mengambil kedamaian dari bumi.”—Wahyu 6:4.

 Buku Daniel kata bahawa “pada akhir zaman,” kuasa-kuasa dunia akan “saling berlawan” untuk meluaskan pengaruh mereka. Untuk mencapai matlamat ini, mereka akan menggunakan kuasa ketenteraan dan “harta-harta,” atau sumber kewangan mereka.—Daniel 11:40, 42, 43.

Perang yang bakal berlaku

 Bible menyingkapkan bahawa perubahan yang baik akan datang. Tapi sebelum itu, keadaan dunia akan menjadi lebih teruk. Yesus kata bahawa “akan berlakunya kesengsaraan besar yang tidak pernah berlaku semenjak permulaan dunia.” (Matius 24:21) “Kesengsaraan besar” itu akan menjurus kepada perang yang dipanggil Armagedon, iaitu “perang yang akan tercetus pada hari besar Tuhan Yang Maha Kuasa.”—Wahyu 16:14, 16.

 Namun, Armagedon akan membawa penyelamatan, dan bukannya kemusnahan. Melalui perang Armagedon, Tuhan akan mengakhiri semua pemerintahan manusia, yang telah menyebabkan banyak perang dalam sejarah manusia. Untuk tahu lebih lanjut tentang bagaimana perang ini akan membawa kedamaian sejati, bacalah rencana berikut: