TERUSLAH BERJAGA-JAGA!

Rusia Menyerang Ukraine

Rusia Menyerang Ukraine

 Pada awal pagi 24 Februari 2022, angkatan tentera Rusia telah menyerang Ukraine. Rusia tetap melancarkan serangan ini meskipun pemimpin dunia berusaha untuk menghalangnya. Apakah kesan perang ini terhadap dunia kita? António Guterres, iaitu setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, berkata, “Perang ini akan membawa banyak penderitaan dan kemusnahan, serta menggugat kedamaian negara-negara Eropah dan seluruh dunia.”

Apakah yang Bible katakan tentang peristiwa-peristiwa sebegini?

  •   Yesus pernah menubuatkan, “Satu bangsa akan menyerang bangsa yang lain, dan satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain.” (Matius 24:7) Bacalah rencana “Apakah Tanda ‘Hari-Hari Terakhir,’ atau ‘Akhir Zaman’?” untuk lihat bagaimana peperangan pada zaman ini berkaitan dengan nubuat Yesus.

  •   Buku Wahyu dalam Bible menyatakan bahawa penunggang kuda yang “berwarna merah menyala” dan “mengambil kedamaian dari bumi” melambangkan peperangan. (Wahyu 6:4) Untuk tahu lebih lanjut tentang nubuat ini, lihatlah rencana “Empat Penunggang Kuda—Siapakah Mereka?”

  •   Buku Daniel menubuatkan persengketaan antara “raja utara” dan “raja selatan.” (Daniel 11:25-45) Lihat video Nubuat yang Menjadi Kenyataan—Daniel Bab 11 untuk tahu mengapa Rusia dan sekutu-sekutunya merupakan raja utara. a

  •   Buku Wahyu menyebut tentang “perang yang akan tercetus pada hari besar Tuhan Yang Maha Kuasa.” (Wahyu 16:14, 16) Tetapi ini bukanlah perang antara kerajaan-kerajaan manusia, seperti apa yang sedang berlaku sekarang. Bacalah rencana “Apakah Itu Perang Armagedon?” untuk mengetahui lebih banyak tentang peristiwa ini.

Mengapakah kita boleh yakin masa depan akan lebih baik?

  •   Bible kata bahawa Tuhan akan “menghentikan peperangan di seluruh dunia.” (Mazmur 46:9) Lihat rencana “Harapan Sejati bagi Masa Depan” untuk tahu lebih banyak tentang janji Tuhan ini.

  •   Yesus mengajar pengikutnya untuk berdoa tentang kedatangan Kerajaan Tuhan. (Matius 6:9, 10) Kerajaan Tuhan di syurga akan melaksanakan kehendak-Nya di bumi, termasuk membawa kedamaian sedunia. Untuk lihat berkat lain yang akan dibawa oleh Kerajaan Tuhan, tontonlah video Apa Itu Kerajaan Tuhan?

 Di Ukraine, terdapat lebih daripada 129,000 orang Saksi-Saksi Yehuwa. Seperti Saksi di negara lain, mereka juga mengikut perintah Yesus dengan tetap berpendirian neutral dan tidak mengambil bahagian dalam perang. (Yohanes 18:36) Di seluas dunia, Saksi-Saksi Yehuwa terus menyebarkan “berita baik tentang Kerajaan Tuhan.” Kami yakin bahawa Kerajaan Tuhan ialah satu-satunya penyelesaian kepada masalah manusia, termasuk perang. (Matius 24:14) Untuk mengetahui lebih lanjut tentang harapan Bible, sila hubungi kami.

a Untuk mengkaji nubuat ini dengan lebih mendalam, lihat rencana “‘Raja Utara’ pada Akhir Zaman” dan “Siapakah ‘Raja Utara’ pada Zaman Ini?”